Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Yusoff Mahadi mahu semua pasukan liga amatur menghentikan amalan melepaskan slot Liga M3 kepada pasukan lain pada masa akan datang.
Beliau menganggap, setiap pasukan diberikan kepercayaan untuk bertanding dalam Liga M3, dan segala isu mengenai pelepasan slot perlu melalui AFL terlebih dahulu.
“Saya berharap budaya tidak sihat ini dapat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Mana-mana pasukan tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan slot mereka kepada pasukan lain. Keputusan terakhir berada di tangan AFL untuk menilai, pertimbang sebelum meluluskan slot pasukan Liga M3 kepada pihak yang lain.”
Musim ini, Puchong Fuerza membuat keputusan untuk melepaskan slot Liga M3 kepada Manjung City FC, manakala pasukan Puchong bersaing di Liga Perdana FAS pada musim 2020.
Liga M3 bakal menyaksikan 20 pasukan bertanding pada musim ini, sebagai persiapan dari kelab amatur ke arah kelab semi-pro pada 2021.
20 pasukan tersebut akan terbahagi kepada dua kumpulan, dan ia jauh lebih banyak berbanding musim lepas dengan hanya 14 pasukan yang bertanding.
Kemudian, 12 pasukan yang memiliki rekod kewangan baik akan terus beraksi di Liga M3 pada musim 2021, manakala lapan pasukan lagi akan tersingkir ke Liga M4.
Liga M4 pula akan terdiri daripada empat pasukan terbaik dan ini bermakna liga tersebut akan mempunyai 12 buah pasukan.
Liga-liga negeri serta liga swasta yang diiktiraf AFL pula akan diselaraskan untuk bersaing dalam Liga M5 bermula tahun depan.
“Kita perlu memperbaiki struktur Liga M3,” kata Yusoff.
“AFL mahu memastikan standard liga ini tidak begitu jauh dengan Liga Perdana jika mereka dapat dinaikkan pada masa akan datang. Kita mahu pasukan-pasukan lebih bersedia untuk dinaikkan ke Liga Perdana nanti.
“Jadi jangkaan kami pada tahun 2021, status Liga M3 bakal menjadi separa profesional manakala kelompok pasukan amatur akan bersaing dalam Liga M4.
AFL turut mencadangkan sebanyak dua hingga empat slot pasukan bertanding dalam Piala Cabaran dibuka kepada pasukan Liga M3, namun ia tertakluk kepada keputusan MFL kerana perlu menyelaraskan dengan jadual liga.
Program naturalisasi akan mula diperkenalkan AFL dengan tambahan dua lagi kuota pemain asing berumur antara 18 hingga 20 tahun bagi musim 2020.
Bermula tahun 2021 juga, setiap pasukan amatur diwajibkan mendapat pengiktirafan atau bernaung di bawah persatuan daerah atau negeri.