Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Satwant Singh merasakan pasukannya perlu kembali beraksi di Liga Super Malaysia tahun depan.
Beliau menganggap skuad musim depan mempunyai potensi untuk berada dalam dua kedudukan terbaik di Liga Perdana musim depan.
“Saya percaya dengan percaturan pasukan Negeri Sembilan untuk musim 2020, ditambah dengan segala pengalaman yang kita ada untuk memastikan prestasi skuad ini terus cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL.
“Ini kerana sudah lama kami tinggalkan Liga Super dan sudah tiba masa untuk kita lebih serius memburu slot tersebut pada musim 2021 nanti.”
Skuad Rusa membuat keputusan mengejutkan apabila melantik jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Sazali Saidon sebagai jurulatih baharu dan membawa masuk dua bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Shahrom Kalam.
Mereka juga berjaya membawa masuk bekas pemain skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan, Nur Shamie Iszuan Amin.
Musim lepas, Negeri Sembilan menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Perdana dengan mengutip 29 mata daripada 20 perlawanan.