Gabungan dua penyerang import berbisa Kedah, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman bakal membantu skuad Lang Merah menghalang JDT daripada terus mengungguli Liga Super musim depan.
Kipre yang beraksi dengan Terengganu musim lepas, teruja untuk beraksi bersama Kpah buat pertama kali.
“Musim lalu, prestasi Kpah sangat bagus. Sebelum ini, kami bermain untuk pasukan yang berlainan, jadi saya sangat gembira kerana dapat berada dalam satu pasukan yang sama dan berharap kami dapat bermain dengan baik untuk pasukan Kedah.
“Saya juga sangat teruja sertai Kedah kerana pasukan ini selalu berada dalam kelompok tiga teratas dalam liga bola sepak. Musim 2020, sasaran saya adalah untuk mengalahkan pasukan JDT dan bawa pulang piala untuk pasukan Kedah,” katanya kepada Bernama.
Kpah yang berasal dari Liberia dan beraksi di PKNS musim lepas berharap dapat cepat menyesuaikan diri dengan rakan baharunya untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada musim depan.
“Saya yakin dapat bermain dengan baik bersama kawan lama saya Tchetche dan buat masa ini saya juga dapat bermain dan bergaul dengan baik bersama rakan-rakan pasukan yang lain. Penyokong juga banyak menyokong saya jadi, saya akan beri yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Selain Kipre dan Kpah, Kedah turut menandatangani Irfan Zakaria dari Kuala Lumpur, Hadin Azman dari Felda United, penjaga gol Mohd Sharil Saari (PDRM FC), Zulkhairi Zulkepli (UiTM FC), Tam Sheang Tsung dari kelab Jepun Sagan Tosu II dan dua pemain Piala Presiden, Mohd Aiman Afif Md Afizul dan Mohd Loqman Hakim Marzuki.