Malaysia Berita

Brendan Gan cari angin baru

Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan sah akan meninggalkan pasukan Perak pada musim depan selepas mengumumkannya menerusi ciapan di laman sosial Twitter dan satu hantaran di laman sosial Instagram.

Pemain berusia 31 tahun itu menyertai Perak pada musim lepas dan membantu skuad The Bos Gaurus untuk merangkul Piala Malaysia 2018. Brendan Gan turut membantu Perak ke perlawanan akhir Piala FA musim ini tetapi tewas kepada Kedah pada perlawanan tersebut.

https://www.instagram.com/p/B5ZthnvAcwl/

Prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain kelahiran Australia ini telah membuka mata Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Sepanjang lima perlawanan bersama skuad negara, Brendan Gan telah memainkan watak penting di bahagian tengah untuk membantu Malaysia memungut sembilan mata dan kini menghuni tangga kedua kumpulan G, dua mata dibelakang Vietnam.

Terdahulu, beberapa pasukan telah dikaitkan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah ini seperti Kedah, Selangor, dan Pahang. Namun, masih belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana pasukan. Malah, Kedah turut mengakui ada cubaan untuk menandatangani pemain itu tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut berikutan bajet yang terhad.

Sementara itu, Perak juga akan kehilangan dua pemain tempatan iaitu Mohamad Nasir Basharudin dan Mohd Nor Hakim Hassan serta pemain import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva yang telah secara rasmi meninggalkan pasukan untuk menyertai pasukan baru.