Niko Kovac dan Mauricio Pochettino merupakan dua pengendali pasukan yang telah meninggalkan pasukan masing-masing ekoran prestasi yang kurang memuaskan. Kovac meninggalkan Bayern Munich pada awal November lalu manakala Pochettino dipecat Tottenham Hotspur pada minggu lepas.
Time running out for Unai Emery at Arsenal? pic.twitter.com/rdp0iAfeHQ
— GOAL Asia (@GOALasia) November 24, 2019
Persoalan yang paling hangat dibincangkan pada minggu ini ialah siapa yang bakal mengikut jejak langkah mereka berdua. Dua calon utama yang menjadi bualan ramai adalah pengendali pasukan Arsenal, Unai Emery dan ketua jurulatih Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer.
Unai dan Ole menghadapi situasi yang agak sama kerana masih gagal menampilkan aksi memuaskan selepas 13 perlawanan liga sudah pun berlalu. Skuad bimbingan Unai sekali lagi gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Southampton.
Malah, Arsenal kelihatan bergelut untuk mencari kemenangan. Berdasarkan lima perlawanan lepas, Arsenal sekadar mencatat tiga keputusan seri dan dua kekalahan. Ini merupakan satu keputusan yang ternyata negatif setelah membelanjakan puluhan juta dan membawa masuk beberapa pemain baru ke dalam pasukan tetapi masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda positif.
Begitu juga dengan Manchester United yang terikat 3-3 bersama Sheffield United malam semalam. Walaupun berjaya bangkit daripada ketinggalan 2-0 dan mendahului perlawanan 3-2, tetapi mentaliti juara pada anak buah Ole Gunnar Solksjaer ini masih tumpul.
What game this was 🔥
Is this the game of the season so far?pic.twitter.com/7szMf7AkDa
— GOAL Asia (@GOALasia) November 25, 2019
Persamaan pada kondisi semasa kedua-dua pasukan ini ternyata menaikkan kemarahan daripada pihak penyokong. Seperti yang sedia maklum, Arsenal dan Manchester United adalah dua pasukan gergasi dalam Liga Perdana Inggeris atas rekod pencapaian terdahulu.
Namun begitu, legasi cemerlang yang ditampilkan pada masa dahulu gagal diwarisi dengan baik oleh skuad pada hari ini. Tanda pagar #EmeryOut dan #OleOut sudah mula berlegar di laman sosial Twitter sejak beberapa bulan lepas. Jika kedua-dua pengendali ini masih terus mempamerkan aksi terumbang-ambing, tidak mustahil untuk melihat kehadiran ketua jurulatih baru buat kedua-dua pasukan dalam masa terdekat.