Kolum Eropah

Langkah kanan Mourinho

Ketua Jurulatih Tottenham Hotspur yang baru, Jose Mourinho memulakan tugas bersama pasukan baru dengan keputusan positif setelah menewaskan West Ham Uited 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu lepas.

Spurs yang gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan liga sebelum ini menampilkan persembahan bertenaga dan selesa mendahului perlawanan dengan tiga gol hasil jaringan Heung Min Son, Lucas Moura, dan Harry Kane.

Namun begitu, Mourinho perlu melakukan sesuatu pada barisan pertahanan yang dilihat agak rapuh dan hilang fokus setelah mendahului dengan tiga gol. Usaha West Ham United selaku tuan rumah untuk bangkit mengikat perlawanan gagal dan hanya mampu menghasilkan dua gol sahaja di hujung babak kedua perlawanan.

Kemenangan ini meletakkan Spurs di tangga ke-10 dengan kutipan 17 mata berkongsi mata bersama Manchester United dan hanya dibezakan dengan perbezaan jumlah jaringan gol.

Rata-rata penyokong Spurs gembira dengan keputusan yang diperolehi. Mourinho turut memuji anak buahnya kerana mempersembahkan aksi yang mengagumkan. ‘Persembahan cemerlang dan bola sepak luar biasa. Saya gembira dengan apa yang telah kami lakukan’, tambahnya lagi.

Pengendali yang berasal dari Portugal itu sememangnya dikenali dengan gelaran pakar taktikal diatas kecemerlangannya bersama pasukan terdahulu seperti Chelsea, Inter Milan, Real Madrid, dan Manchester United.

Spurs akan melayan kunjungan Olympiacos bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi Rabu ini. Pasukan bimbingan Jose Mourinho ini berada dalam landasan yang baik untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Spurs mencatat dua kemenangan dalam empat perlawanan bagi saingan eropah buat setakat ini.