Skuad Harimau Malaya akan melayan kunjungan Thailand bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan pada malam esok merupakan satu misi penting dalam mengutip mata penuh di gelanggang sendiri. Beliau juga mengakui skuad Gajah Perang yang dikendali jurulatih baru iaitu Akira Nishino bakal hadir dengan menampilkan barisan terkuat.
‘Pasukan Thailand hari ini tidak sama dengan pasukan tahun lepas. Perlawanan menentang Tajikistan dan Thailand adalah dua perlawanan berbeza’, katanya lagi dalam membuat perbandingan terhadap barisan pemain pasukan lawan yang akan diturunkan malam esok.
Cheng Hoe berharap agar anak buahnya mampu memberikan yang terbaik untuk perlawanan pada malam esok serta dapat memperbaiki kualiti di semua posisi. ‘Para pemain perlu bersedia dengan barisan penyerang (Thailand). Mereka juga menurunkan pemain muda. Walau apa pun jua, kita perlu mempamerkan sikap yang betul dan disiplin dengan arahan taktikal’, tambahnya lagi.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa belum membuat pilihan dalam melantik ketua pasukan. Ujarnya lagi, semua pemain perlu fokus dan soal ketua pasukan akan diberitahu kemudian. Apa yang lebih penting adalah kebolehan pemain yang dipilih sebagai ketua pasukan dalam membimbing pasukan pada malam esok.