Bekas pemain legenda Perancis dan Arsenal, Robert Pires menyambut hari ulangtahun kelahiran ke-46 hari ini.
Pires memulakan karier awal bersama Metz selama lima musim dan mencatat 43 jaringan daripada 162 penampilan. Kemudian, beliau berhijrah ke Olympique Marseille dan secara perlahan-lahan mencuri tumpuan kelab-kelab besar di Eropah pada ketika itu.
Kemuncak karier pemain ini bermula selepas menyertai Arsenal pada tahun 2000 dan menyumbangkan 62 gol daripada 189 penampilan. Gandingan mantap Pires bersama beberapa pemain bintang Arsenal ketika itu seperti Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Freddie Ljungberg, dan Patrick Vieira begitu membawa namanya ke persada dunia.
Kebolehan pemain ini untuk mencipta peluang kepada rakan sepasukan memang tidak dapat dinafikan. Beliau juga memiliki skil bertaraf dunia dan mampu menghasilkan jaringan luar biasa. Antara jaringan tercantik yang pernah dihasilkan ialah sepakan lencong luar kotak yang memberikan kemenangan tipis buat Arsenal keatas Liverpool di Anfield pada tahun 2003.
Disamping itu, personaliti pemain ini juga dipuji kerana tidak pernah menimbulkan sebarang kontroversi di luar padang dan sentiasa menjadi contoh buat pemain-pemain muda.
Sepanjang karier bola sepak yang telah diharungi, Pires telah memenangi Piala Dunia 1998, Kejohanan Eropah 2000, dua gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dan Piala Konfederasi.
Kini, pemain berbangsa Perancis itu aktif melatih skuad utama Arsenal sejak tahun 2016.