Bekas penyerang Chelsea, Alvaro Morata muncul wira selepas masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika menentang Bayer Leverkusen semalam.
Perlawanan yang seakan-akan seimbang diantara kedua-dua pasukan itu akhirnya dipisahkan melalui gol Morata. Atletico Madrid turun melayan pasukan pelawat di Stadium Wanda Metropolitano tanpa kelibat bintang berbisa Portugal, Joao Felix yang mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan.
Diego Simeone melancarkan formasi 4-1-2-1-2 dengan menaruh harapan kepada dua penyerang mereka, Diego Costa dan Angel Correa. Namun yang demikian, Bayer Leverkusen dilihat lebih banyak memberi ancaman.
Maruah pasukan tuan rumah diselamatkan oleh penjaga gawang, Jan Oblak yang bertindak cemerlang sepanjang 90 minit permainan. Ketiadaan Felix yang sebelum ini berlegar-legar di bahagian sayap juga memberi kesan kepada Atletico.
Segalanya berubah selepas Alvaro Morata yang menggantikan Koke hanya mengambil masa lapan minit untuk menembusi gawang gol Bayer Leverkusen. Keputusan ini meletakkan Atletico kekal di tangga kedua kumpulan D dan berkongsi mata bersama Juventus. Perbezaan jaringan gol sahaja yang memisahkan kedua-dua pasukan ini.