Real Madrid mengungguli carta La Liga setelah mencatat kemenangan selesa 2-0 menentang Osasuna pagi tadi.
Los Blancos masih bersih daripada sebarang kekalahan musim ini bersama-sama satu lagi pasukan, Athletic Bilbao. Disebalik prestasi memberangsangkan anak didik Zinedine Zidane ini, ada satu watak penting yang dipinggirkan.
Karim Benzema adalah pemain yang mempengaruhi pasukan dalam mencapai kemenangan. Di usia 31 tahun, pemain ini memainkan peranan penting dalam mengemudi barisan serangan. Kegagalan pemain baru, Eden Hazard dalam menyuntik impak segera ke dalam pasukan menambah beban di bahu bekas penyerang kebangsaan Perancis ini. Sepanjang enam perlawanan liga, Benzema telah menjaringkan lima gol.
Sebelum ini, Real Madrid begitu bergantung harap kepada trio mereka iaitu Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, dan Karim Benzema. Semuanya berubah setelah pemergian bintang Portugal itu ke Juventus pada 2018. Perbezaan jumlah jaringan gol yang dihasilkan Ronaldo dan Benzema begitu ketara sekali. Contohnya dapat dirungkai pada musim 2017/2018 yang menyaksikan Ronaldo dengan 26 jaringan manakala Benzema dengan hanya lima gol berdasarkan perlawanan liga yang melibatkan mereka berdua.
Pada musim lepas, Benzema membuktikan kemampuan beliau tanpa Ronaldo dengan menghasilkan 21 jaringan dalam liga. Secara perbandingan individu, kedua-dua pemain mempunyai kualiti dalam kelas yang tersendiri. Fakta yang tidak dinafikan ialah Real Madrid sememangnya luar biasa dengan kelibat trio mereka tetapi sedikit layu selepas kehilangan Ronaldo.
Oleh itu, konsistensi Benzema pasti menjadi taruhan para penyokong mereka. Tambahan pula, mereka dalam misi merangkul kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2016/2017. Zaman kegemilangan mereka pasti berulang jika Eden Hazard mampu menampilkan persembahan bertenaga seperti mana yang ditunjukkan ketika bersama Chelsea.