Piala Malaysia Berita

Melaka, Perak, Kedah jadi mangsa korban lawan masing-masing

Selangor berjaya mengatasi Melaka United (MU) pada aksi Kumpulan D di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput selepas menang 1-0.

Turun selaku juara 33 kali Piala Malaysia, skuad B Sathianathan tampil dengan persembahan yang meyakinkan.

Pada perlawanan tersebut, The Red Giants tidak memerlukan tenaga yang lebih untuk menjaringkan gol pertama apabila pemain import MU, Jang Suk Won meletakkan Selangor di hadapan hasil jaringan sendiri.

Skuad Zainal Abidin cuba untuk bangkit menerusi beberapa cubaan dari pemain tuan rumah, tetapi penjaga gol Selangor, Khairul Azham Mohd Khalid berjaya menepis peluang cabaran MU.

Manakala bagi pasukan Kedah, mereka terpaksa akur dengan kehebatan Terengganu FC (TFC) selepas tunduk 2-0 dalam aksi Kumpulan A, Piala Malaysia.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman menyaksikan skuad Aidil Sharin Sahak turun selaku juara Piala FA menentang naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Skuad dari Pantai Timur berjaya berada di hadapan pada babak pertama perlawanan dengan Kipre Tcheche mengejutkan juara Piala FA 2019.

Biarpun TFC bermain dengan 10 orang selepas penjaga gawang, Ilham Amirullah dilayangkan kad merah, ia tidak menyekat TFC sama sekali untuk mengutip tiga mata penuh.

Bagi pasukan kendalian Mehmet Durakovic, kehebatan Pahang beraksi dilaman sendiri telah menyukarkan misi mereka untuk mencatat kemenangan kedua selepas dibelasah 3-0 oleh Tok Gajah.

Bermain di Stadium Darul Makmur, skuad Tok Gajah berjaya melangsaikan misi mereka dengan mengutip enam mata untuk memberi mereka kedudukan selesa untuk layak ke peringkat seterusnya.

Skuad Pahang berada di hadapan hasil jaringan Herold Goulan, lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Tok Gajah sekali lagi mengecewakan Perak dengan dua jaringan tambahan dari Saddil Ramdani dan Kaimbi untuk melengkapkan kemenangan Pahang.