Siapakah pemain terbaik sepanjang zaman buat Korea Selatan? Sebahagian besar mungkin menjawab Park Ji-Sung. Namun, nama Lee Young-Pyo tidak boleh dilupakan sebagai salah seorang pemain paling berjaya di Negara Ginseng itu.
Bekas pemain bek kiri ini lahir pada 23 April 1977 di Hongcheon, Provinsi Gangwon yang terletak di wilayah timur laut Korea Selatan, kawasan yang sangat dekat dengan Korea Utara. Dia menghabiskan waktu mudanya bersama kelab Universitas Konkuk sebelum menyertai Anyang LG Cheetah, kelab yang kini sudah dibubarkan.
Selama Lee bermain di kelab tersebut, Anyang memenangi kejuaraan Liga Korea dan Piala Super Korea. Hasilnya, dia membarisi skuad untuk ke Piala Dunia 2002. Tentunya ia detik yang sukar dilupakan warga Korea Selatan kerana pasukan kebangsaan mereka layak ke separuh akhir.
Lee sememangnya baru sahaja melakukan debut sewaktu perlawanan ketiga ketika menentang Portugal. Namun, ia menjadi permulaan yang manis buat pemain berketinggian 177 sentimeter ini. Berbekalkan ciri khas dan aksi hebat di sebelah kiri, dia mampu mengatasi pemain Portugal.
Bagaimanapun, penampilannya di suku akhir menjadi satu fenomena. Umpanannyan kepada Ahn Jung-Hwan telah mencipta gol yang membawa mereka ke separuh akhir. Di sepanjang kejohanan, dia menggunakan jersi nombor 10 yang diidamkan oleh setiap pemain. Ahn menjadi perhatian utama setiap media, bersama Hong Myung-Bo selaku pemain terbaik Korea Selatan di Piala Dunia 2002 tetapi tanpa diragui Lee merupakan bahagian penting dalam skuad bimbingan Guus Hiddink.
Selepas kejohanan bersejarah itu selesai, Hiddink menjadi watak utama dalam memperkenalkan Lee ke Eropah. Selepas mengambil alih jawatan pengurus di PSV Eindhoven, dia membawa masuk Lee dan Park bersamanya. Ketika Park mengalami masalah untuk menyesuaikan diri dengan permainan di Belanda dalam musim pertamanya, Lee dengan pantas menjadi tonggak utama PSV sehingga muncul pemain kegemaran penyokong.
Dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah musim 2004/05 yang menyaksikan PSV ke separuh akhir sebelum disingkirkan AC Milan menerusi peraturan gol di tempat lawan, Lee sekali lagi mencuri perhatian. Ketika aksi pertama separuh akhir yang berkesudahan PSV menang 3-1, Lee menjadi pembantu kepada jaringan Park. Ia menjadi kemuncak karier buat kedua-dua pemain ini. Musim itu juga menjadi penampilan terakhir buat mereka berdua di PSV.
Kedua-dua pemain ini memilih untuk berhijrah ke England dengan dua kelab yang berbeza. Lee memilih untuk ke utara London bersama Tottenham Hotspur sementara Park ke Manchester United.
Bersama Spurs, Lee tampak sukar untuk mengulangi aksi hebat seperti di Belanda. Namun, dia masih dapat melakukan 70 penampilan buat pasukannya dalam masa tiga tahun. Kemuncak karier Lee di England adalah pada tahun 2008 apabila menjulang Piala Liga, sekaligus menjadi trofi pertama Spurs selepas beberapa tahun.
Selepas itu, dia berhijrah ke kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund, pada 2008 tetapi hanya bertahan setahun sebelum ke Arab Saudi menyertai Al-Hilal. Walaupu telah hilang daripada radar Eropah, dia masih menampilkan aksi hebat untuk menjulang liga domestic dan Piala Raja Arab Saudi.
Lee mengakhiri kariernya bersama kelab Kanada, Vancouver Whitecaps, pada usia 36 tahun. Dia menjadi inspirasi buat pemain-pemain muda Korea Selatan, terutama dalam perjalanan bersama skuad kebangsaan dan aksi di Eropah. Selain dikenali dengan bakat yang dimiliki, Lee juga dihormati di negaranya kerana sikap yang selalu memejamkan mata sewaktu menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan.
Adakah anda bersetuju jika Lee disebut sebagai pemain terbaik daripada generasi 2002? Jawapannya masih “mungkin”, selepas memikirkan kelibat Park, Hong dan Ahn. Namun, jika ditanya adakah Lee pemain yang menampilkan persembahan paling mengagumkan, jawapannya adalah “ya”.