Piala Dunia 2018 Luar Negara

Celta Vigo 2007/08: Bagaimana tiga penyerang utama Sepanyol ditemui di Vigo

Kini tiba masanya yang paling dinantikan dalam kalendar Piala Dunia, waktu dimana semua peminat bola sepak mula membicarakan tentang pemain yang sepatutnya menerima “tiket” panggilan skuad kebangsaan atau menempah tempat percutian. Untuk Sepanyol, topik perbincangan pastinya terarah kepada pemilihan barisan penyerang tetapi pengendali, Julen Lopetegui, tampak sudah mempunyai perancangan. Jika tiada sebarang perubahan, pilihannya sudah tentu Diego Costa, Iago Aspas dan Rodrigo Moreno.

Mereka merupakan tiga penyerang yang berbeza tetapi mempunyai satu persamaan – mereka berada di Celta Vigo ketika musim 2007/08. Jadi, ayuh berundur selama sedekad untuk melihat bagaimana kelab Galician membantu dalam membina penyerang yang bakal membantu La Roja meraih kejuaraan Piala Dunia kedua.

Ketiga-tiga penyerang ini beraksi dalam tiga pasukan Celta yang berbeza pada ketika itu, membuatkan mereka lebih menarik. Pada usia 20 tahun, Aspas tampak paling tua tetapi beraksi bersama Celta Vigo B, sementara Costa yang tiba semasa berusia 18 tahun dirasakan lebih matang untuk mewakili skuad utama. Rodrigo yang berusia 16 tahun dan paling muda pula menyarung jersi skuad Juvenil. Tatkala mereka mengahrungi pengalaman yang berbeza semasa bersama Celta, melalui sesi latihan di kawasan yang berbeza di Kompleks Latihan A Madroa, jelas sekali musim 2007/08 menjadi detik penting dalam karier masing-masing, terutamanya untuk ke Russia.

Buat Costa, ia merupakan langkah pertamanya di kancah bola sepak Sepanyol. Pemain kelahiran Brazil itu telah berada di Eropah sejak 2006 selepas tiba dari kelab Portugal, Sporting Braga, tetapi dia melakukan debut Eropah bersama Celta. Khidmatnya diraih Atletico Madrid pada Januari 2007, sebelum dipinjamkan semula ke Braga untuk menamatkan saingan 2006/07 di sana. Kelab pangkalan Madrid itu kemudian meminjamkannya ke Celta yang pada waktu itu beraksi dalam liga divisyen dua Sepanyol.

Dia baru berusia 18 tahun sewaktu tiba di Celta tetapi Costa memiliki pengalaman. Pada usia 14 tahun, dia telah berhijrah melalui sempadan Brazil dan Paraguay untuk mendapatkan barangan tiruan sebelum menjualnya bagi mendapatkan keuntungan. Ia mungkin tiada kena-mengena dengan bola sepak tetapi menjelaskan bagaimana Costa dapat menjaga dirinya. Kebolehan bola sepak yang dimiliki akhirnya dihidu oleh salah seorang pencari bakat kepada Jorge Mendes dan Costa berpindah ke Portugal, sebelum melengkapkan laluannya ke Sepanyol.

Pada musim panas 2007, Atletico Madrid tidak mempunyai ruang untuk menempatkan penyerang lain selepas memiliki Diego Forlan, Sergio Aguero, Jose Antonio Reyes, Luis Garcia dan Simao Sabrosa. Sebab itu dia dihantar ke Celta untuk meningkatkan diri dan menghasilkan enam jaringan walaupun berada di bawah kendalian empat jurulatih yang berbeza. Dia tidak sempurna, dibuang padang sebanyak tiga kali tetapi sedikit demi sedikit menggunakan daya agresif yang dimiliki dalam istilah bola sepak sopan yang ada di LaLiga. “Sewaktu muda, dia perlu mempelajari bagaimana untuk melihat dirinya, untuk mengawal kemarahan terhadap lawan dan pengadil,” ujar Fran Guillen, penulis buku “Diego Costa: The Art Of War”.

Tempoh pinjaman di Albacete, Real Valladolid dan Rayo Vallecano diperlukan untuk menampilkan tahap konsisten tetapi kesan jangka panjang hasil pinjamannya itu sangat besar. “Dia menjadi matang ketika tempoh pinjaman,” tambah Guillen. “Dia tiba di Sepanyol sebagai seorang budak dan akhirnya mendapat tempat di Atletico, terima kasih di atas kekuatan mental yang ditunjukkan.”

Bagi Aspas, pada musim itu dia lebih menikmati waktu bersama Celta Vigo B. Alejandro Menendez mengendalikan pasukan sebelum dinaikkan ke skuad utama dalam lima perlawanan terakhir. Walaupun Aspas telah mencatat empat gol daripada 21 penampilan bersama Celta B pada musim itu, permainan keseluruhannya semakin meningkat dengan baik sehingga membuatkan Menendez membuat keputusan untuk menaikkannya ke skuad utama, menggantikan Costa yang digantung perlawanan. Dua penyerang itu tidak pernah beraksi bersama tetapi melakukan debut dalam pasukan senior di Sepanyol pada musim tersebut di Celta, pasukan yang kini diketuai oleh Aspas, selepas kembali daripada perjalanan karier yang mengecewakan bersama Liverpool.

Rodrigo Moreno tidak pernah beraksi buat skuad senior Celta dan dia diakui masih belum memenuhi tuntutan seorang pemain sempurna pada musim 2007/08. Seperti Costa, dia dilahirkan di Brazil dan berhijrah ke Sepanyol untuk menggapai cita-cita dalam dunia bola sepaknya, menyertai Celta Vigo.

Bola sepak telah berada dalam darah Rodrigo, dimana bapanya, Adalberto Machado, beraksi sebagai pemain pertahanan untuk Flamengo pada era 80-an. Semasa kariernya, Adalberto merupakan rakan karib kepada Mazinho, bapa kepada Thiago dan Rafinha Alcantara dan mereka bertiga membesar bersama seperti sepupu. Malah, Rodrigo dan Thiago beraksi untuk pasukan sekolah yang sama di Rio De Janeiro dan juga di Celta selepas Mazinho – beraksi tiga musim dalam kariernya di situ – kembali berpindah ke bandar itu untuk menubuhkan sekolah bola sepak sambil menjadikan Adalberto sebagai salah seorang pengarah buat sekolah tersebut. Beraksi untuk Ureca dalam saingan Alevin, Rodrigo dan Thiago memusnahkan hampir kesemua lawan yang ditemui, termasuk skuad yang dibiayai oleh Celta. Memandangkan bapa Rodrigo sendiri bertindak sebagai pencari bakat buat Celta, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menerima tawaran berpindah ke kelab tersebut.

Penyerang yang kini mewakili Valencia itu dengan pantas menembusi carta pemain muda dan menampilkan aksi memukau pada musim 2007/08 dan 2008/09, membantu Juvenil Celta mara ke final Copa de Campeones, kejohanan utama pemain belia di Sepanyol, namun tewas 2-0 di tangan skuad muda Barcelona walaupun terdapat gol Celta yang tidak dikira ketika aksi terikat tanpa jaringan.

Rodrigo Moreno mungkin tidak memenangi trofi itu tetapi dia meraih banyak ilmu, terima kasih kepada jurulatihnya yang muda dan bertenaga, Guillermo Fernandez-Romo. Dia berjaya mendapat tempat dalam akademi Real Madrid dan berhijrah ke ibu kota Sepanyol itu menerusi perpindahan berjumlah EUR300,000, memberikan wang lumayan kepada pasukan. Berpindah ke Benfica dan Bolton, sebelum membuat keputusan untuk kembali ke LaLiga bersama Valencia, dimana dia memenuhi potensi yang dikenalpasti bersama A Madroa.

Dia melengkapkan potensi itu untuk mendapatkan tempat dalam skuad Piala Dunia La Roja, bersama-sama dua lagi penyerang yang dia kongsikan kelab pada musim 2007/08. Apa yang menarik, mereka tidak pernah beraksi bersama dalam perlawanan kompetitif dalam satu masa, dimana peluang yang diraih untuk merasai pengalaman itu adalah ketika Aspas dan Costa beraksi serentak dalam tujuh minit terakhir sewaktu Sepanyol menundukkan Israel 4-1 pada Mei 2017. Ya, tiga pemain ini melalui karier yang sama tetapi berlainan haluan dan kesemuanya melalui Celta, sedekad lalu.

Oleh Euan McTear
(www.tifofootball.com)