Luar Negara Berita

Takefusa Kubo, Hiroki Abe dan misi Jepun untuk menakluk dunia

Barcelona telah menandatangani Hiroki Abe dari Kashima Antlers, salah seorang bakat muda Jepun yang bakal bermain di kelab gergasi Sepanyol.

Pemain berusia 20 tahun itu membuat perpindahannya sejurus selepas Real Madrid mendapatkan satu lagi pemain sensasi Jepun, Takefusa Kubo, yang terkenal dengan gelaran Messi Jepun dan sebelum ini mewakili akademi La Masia, Barcelona sebelum kembali ke Jepun.

Kedua-dua pemain ini membuktikan bahawa bola sepak Jepun semakin meningkat dengan terdapat lebih ramai pemain Jepun yang telah berjaya menembusi lima liga utama Eropah.

Gelombang pemain baru ini bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia adalah sebuah strategi dari Persatuan Bola Sepak Jepun yang diletakkan pada akhir tahun 1990-an.

Akibatnya, Jepun berharap dapat membina sebuah pasukan yang mampu memenangi Piala Dunia pada tahun 2050 dan sebuah liga domestik yang menghasilkan pasukan yang cukup baik untuk bersaing dengan liga Eropah menjelang 2030.

Setiap kelab yang menyertai Liga J1 diwajibkan untuk membangunkan akademi sendiri dan mempunyai sekurang-kurangnya dua pasukan belia.

Di samping itu, mesti ada dua pemain dari akademi mereka dalam kesebelasan utama dan sekurang-kurangnya seorang pemain yang berusia di bawah 21 tahun.

“Kami mempunyai matlamat jangka panjang untuk menjadi liga keempat terbesar di dunia menjelang 2030,” kata presiden Liga J1.

Projek mereka mula terbayar dengan kini terdapat 14 pemain Jepun yang bermain di lima liga teratas di Eropah.

Bundesliga mempunyai 31 pemain Jepun yang mewakili kelab-kelab besar Jerman.

Manakala La Liga, Shoji Jo adalah pemain Jepun pertama yang bermain di Sepanyol ketika mewakili Real Valladolid. Sejak itu, sembilan lagi pemain Jepun telah bermain untuk pelbagai pasukan di Sepanyol.

Jepun berjaya melepasi peringkat kalah mati di kejohanan Piala Dunia untuk kali keenam berturut-turut pada 2018, sebelum mereka tersingkir dalam perlawanan menentang Belgium.