Kolum Futsal

Tengku Aidy mahu Pahang julang MPF

Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah adalah antara watak penting yang berdiri di belakang Pahang Rangers FC.

Beliau juga adalah antara watak penting yang menubuhkan Pahang Rangers FC bersama-sama dengan Presiden Pahang Rangers FC, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah ketika hujung tahun 2015.

Sebagai Naib Presiden Pahang Rangers FC, YM Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah mahu sukan futsal ini terus berkembang setaraf dengan bola sepak padang.

Ketika berbincang perkembangan sukan futsal di Malaysia, beliau menyatakan rasa bangga apabila sukan futsal di Malaysia telah berkembang ke tahap baharu sejak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan Malaysian Premier Futsal League (MPFL).

Dari kanan – Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah Bin Tengku Kamil Ismail (Naib Presiden Pahang Rangers), Yang Amat Mulia Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Board of Director)Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah (Presiden Pahang Rangers), Ash Raman (CEO Football Tribe Malaysia).

“Ia adalah satu langkah kehadapan oleh FAM dengan memperkenalkan liga yang lebih profesional dan bakal memberikan kita peluang untuk bergerak lebih jauh.

“Selain daripada itu, langkah ini dapat memberi peluang kepada pasukan dan pemain untuk bersaing ke tahap yang lebih tinggi.”

MPFL diperkenalkan pada Februari tahun ini dengan penyertaan dari pasukan perempuan dan lelaki.

Antara pasukan-pasukan yang bakal bersaing dengan Pahang Rangers FC adalah Kedah, KL City, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Untuk rekod, perlawanan MPFL bakal memasuki perlawanan ke lima dengan Pahang Rangers FC bakal bertemu Kedah di Kuantan pada Sabtu ini.

“Dengan format Round Robin yang diperkenalkan dan akan beroperasi menerusi sistem bermain di laman sendiri serta di rumah lawan.

“Daripada sistem ini, ia dilihat dapat memberi pendedahan kepada orang ramai untuk turun dan menyokong pasukan kesayangan mereka.
“Dalam masa yang sama memberi peluang kepada media-media tempatan untuk membuat liputan dengan lebih meluas.”

Antara kejayaan Pahang Rangers FC sebelum ini adalah memenangi liga futsal yang disertai di Brunei pada 2017.

Dari kiri – Raja Shahzan Alam Shah Bin Raja Abu Bakar Shah, YM Dato’ Indera Tun Putera Matin Ahmad Shah Dato’ Munir, Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah Bin Tengku Kamil Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, YM Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir, Encik Omar Emad Mohamed Nafie Abdelwahab, Encik Frank Tiew.

Biarpun pada ketika itu, pasukan Pahang Rangers FC gagal layak ke Liga Futsal Kebangsaan dan demi untuk meneruskan perkembangan pasukan, mereka dihantar untuk bermain di Brunei.

“Kami berjaya membuktikan kemampuan kami ketika bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik Brunei. Lebih manis lagi adalah kami berjaya memenangi kejohanan tersebut.”

Dalam masa yang sama, beliau juga turut berkongsi perancangan pasukan bagi membawa Pahang Rangers FC ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kami mahu bawa Pahang Rangers FC ke satu tahap yang berbeza.

“Kami mahu memenangi MPFL tahun ini dan cuba untuk kekal juara pada musim-musim akan datang. Bagi perancangan jangka panjang, kami mahu layak ke AFC Futsal Club Championship.

“Itulah impian kami di Pahang Rangers FC.” Katanya.

Pahang setakat ini telah berjaya menempatkan diri di tempat ke-3 liga dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan sebelum ini. Tumpuan sekarang adalah apabila mereka bakal bertemu Kedah di Kuantan pada 13 Julai nanti.