Liga Super Malaysia Berita

Persiapan rapi menjelang pertemuan Selangor dan Kuala Lumpur

Skuad Selangor kembali berlatih menjelang aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur pada 15 Jun nanti di Stadium Shah Alam.

Bagi ketua jurulatih Selangor, B Sathinathan berkata persiapan rapi perlu dilakukan bagi memperbaiki kedudukan di dalam Liga Super.

Selangor sekarang berada di tangga kelima liga dan berkongsi mata dengan Kedah dan Melaka United, di mana masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat.

“Kami perlu segera kembali ke padang latihan bagi mempersiapkan pasukan kerana Kuala Lumpur bukan lawan mudah terutama selepas diambil alih oleh Chong Yee Fatt.

“Tambahan pula sejak beliau membimbing Kuala Lumpur mereka berjaya mencatat beberapa kemenangan hingga berjaya keluar daripada zon penyingkiran yang menandakan bahawa mereka sudah jauh meningkat daripada sebelumnya.

“Pemain perlu lupakan seketika sambutan perayaan demi memastikan fokus diberikan kepada saingan liga dan misi memburu kedudukan tiga terbaik liga berjaya dilaksanakan,” katanya kepada Arena Metro