Pemain baharu Kedah, David Rowley bertekad mahu menggunakan peluang bermain dengan skuad berpengalaman Lang Merah untuk menaikkan prestasinya musim ini.
Beliau mahu membalas kepercayaan yang diberikan Aidil Sharin Sahak setelah memilih beliau sebagai pemain Lang Merah pada perpindahan kedua lalu.
“Kepercayaan diberikan ketua jurulatih untuk saya bersama Kedah amat saya hargai dan saya berazam membalas kepercayaan itu dan membuktikan kemampuan bersama pasukan.
“Sebagai pemain baharu dalam pasukan, kerjasama dengan ramai pemain berpengalaman dalam pasukan mampu membantu meningkatkan keupayaan serta prestasi yang saya harapkan pada musim ini.
“Mereka bijak mengatur gerakan dan ini menjadi panduan yang baik dalam meningkatkan mutu permainan, namun dalam masa yang sama saya tetap teruja dengan barisan pemain muda dimiliki Kedah yang cepat menunjukkan peningkatan,” katanya.