Malam kejuaraan Eropah akhirnya sampai ke penghujungnya apabila Liverpool dan Tottenham bakal berentap di pentas akhir Liga Juara-Juara.
Liverpool dalam perjalanan untuk memenangi kejuaraan ini kali keenam, manakala Spurs pula bakal membuat debut pertama di pentas akhir dan dalam misi memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama.
Pertemuan kedua-dua pasukan
Final Liga Juara-Juara 2019 bakal menjadi pertemuan ketiga diantara kedua-dua pasukan. Kali pertama Spurs dan Liverpool bertemu adalah pada separuh akhir Piala UEFA 1972/72 (sekarang Liga Europa) dengan Liverpool mara secara agregat.
Untuk musim ini, pertemuan liga kedua-dua pasukan berpihak kepada Liverpool dengan secara keseluruhan Liverpool berjaya memenangi 82 perlawanan, berbanding Spurs dengan 48 kemenangan dan 42 keputusan seri.
Pra perlawanan
Ini bakal menjadi kali kedua kelab daripada Inggeris bertemu sesama sendiri dalam pentas final Liga Juara-Juara – terdahulu Manchester United dan Chelsea.
Untuk Liverpool, perlawanan dengan Spurs bakal menjadi medan menebus kekalahan musim lalu di tangan Real Madrid selepas tewas dengan gergasi Sepanyol di Kiev.
Liverpool semestinya akan memotivasikan diri mereka dengan kenangan 2005 di Istanbul apabila berjaya menewaskan AC Milan dengan penuh dramatik. Tetapi itu bukanlah kali pertama mereka menjuarai kejuaraan Eropah. Liverpool memulakan langkah mereka dalam mendominasi kejuaraan ini diantara 1972 dan 1984, di mana mereka memenangi enam trofi eropah dalam 11 tahun, termasuk dua piala Liga Europa. Liverpool juga telah berjaya menjadi naib juara dalam tiga edisi Liga Europa/Liga Juara-Juara.
Manakala bagi Spurs, ini merupakan musim pertama mereka di final Liga Juara-Juara. Spurs pernah melangkah jauh sehingga ke separuh akhir pada musim 1961/62 tetapi tewas di tangan Benfica. Sejak daripada itu, mereka gagal menghadirkan diri ke Liga Juara-Juara sehinggalah pada tahun 2010. Tetapi sekarang, Spurs hanya memerlukan satu langkah untuk memenangi final Liga Juara-Juara dan bakal menjadi pasukan keenam dari Inggeris yang memenangi kejuaraan ini – Liverpool, Manchester United, Nottingham Forest, Chelsea dan Aston Villa.
Berita dari kedua-dua pasukan
Harry Kane masih menjadi tanda tanya, biarpun pemain itu dilaporkan telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialami oleh beliau sewaktu pertemuan dengan Manchester City, tetapi tahap kecergasan beliau masih terus dipersoal.
Bagi pasukan Liverpool, ketiadaan pemain tengah Naby Keita pada pentas akhir akibat daripada kecederaan otot jelas merencatkan persiapan Liverpool, manakala Roberto Firminho dan Andrew Robertson dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya.
Ramalan kesebelasan utama.
Tottenham : Lloris, Trippier, Alderweireld, Vertonghen, Rose, Sissoko, Wanyama, Alli, Eriksen, Son, Moura
Liverpool : Alisson, Alexander-Arnold, Matip, Van Dijk, Robertson, Fabinho, Henderson, Wijnaldum, Mane, Salah, Firmino
Ramalan Perlawanan.
Perlawanan akhir dari dua wakil negara yang sama menjadikan perlawanan ini lebih menarik. Pertemuan kedua-dua pasukan di Liga Perdana Inggeris sudah pasti menjadi kebiasaan, tetapi untuk bertemu di final Liga Juara-Juara adalah luar dari kebiasaan pasukan kendalian Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino.
Apa yang pasti, Liverpool adalah pasukan terbaik, dengan kedudukan mereka di dalam liga dan hadir ke Madrid dengan pemain yang sedang berada di tahap terbaik permainan mereka.
Bagi Spurs, mereka semestinya mahu menamatkan apa yang telah mereka mulakan. Untuk sampai ke tahap ini adalah sesuatu yang di luar jangkauan mereka kerana tiada siapa yang memberi peluang kepada mereka.
Dari segi permainan, Liverpool semestinya mahu menggunakan kelebihan yang ada daripada dua pertahanan kiri dan kanan mereka, Tren Alexander-Arnold and Andrew Robertson. Kedua-dua mereka akan menambah resepi serangan Liverpool yang diketuai Mo Salah sambil dibantu oleh Roberto Firminho dan Sadio Mane.
Bagi Pochettino pula, beliau semestinya perlu memilih untuk bermain secara wide dan menggunakan ruang yang ditinggalkan Alexander dan Robertson yang sedang sibuk membantu bahagian serangan. Atau jurulatih dari Argentina ini lebih suka untuk menunggu di ruang sendiri dan hanya membalas dengan serangan pantas daripada Heung Min Son dan Dele Ali?
Mohamed Salah vs Danny Rose dan Heung Min Son vs Tren Alexander-Arnold semestinya kunci kepada perlawanan ini.
Tottenham 1 – 2 Liverpool : Pasukan Jurgen Klopp akan menjulang trofi keenam mereka dalam kancah Liga Juara-Juara.