Gol tunggal perlawanan daripada import baharu Negeri Sembilan, Igor Luiz berjaya memberikan kemenangan tipis ke atas Terengganu FC II (TFC II) 1-0, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Sebaik sahaja perlawanan bermula, tuan rumah terus mengatur serangan dalam usaha mencari gol awal tetapi akibat kegagalan jentera serangan memecahkan benteng pertahanan lawan, ia menyukarkan pencarian gol mereka.
Shunsuke Nakatake mempunyai peluang terbaik pada minit ke-18 apabila rembatan beliau tepat ke arah gawang TFC II tetapi asakan tersebut berjaya di atas penjaga gol TFC II, Mohd Shamirza Yusoff.
Beberapa minit kemudian, Dzulfahmi Abdul Hadi gagal memanfaatkan peluang apabila gagal merembat bola dihadapan pintu gol dengan sempurna.
TFC II cuba menyerap asakan tuan rumah dengan beberapa kali melancarkan serangan ke kubu Negeri Sembilan tetapi masih gagal menembusi asakan benteng pertahanan Negeri Sembilan.
Igor menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-30 apabila Mohd Sharmiza gagal menampan kemas dan membuatkan anak buah Mat Zan Mat Aris tersentak dengan gol awal Negeri Sembilan.
Bagaimanapun keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan dengan beberapa cubaan TFC II gagal menembusi kubu lawan.