Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) merancang untuk mewujudkan sebuah bank, di mana semua pembayaran melibatkan perpindahan pemain, jualan kelab, ejen pemain atau apa sahaja transaksi yang melibatkan kewangan dilakukan dibawah pemerhatian badan induk tersebut.
Laporan yang dikeluarkan Marca menyebut bahawa tujuan bank ini diwujudkan adalah untuk mengatasi masalah beberapa pihak yang cuba untuk mengambil kesempatan.
Badan induk terbabit telah merekodkan bahawa setiap musim sekitar 50 juta euro yuran latihan pemain tidak dibayar oleh kelab kepada para pemain yang berumur 12-23 tahun.
Kewujudan bank terbabit akan menjadikan aktiviti kewangan kelab-kelab lain lebih telus dan bertanggungjawab dalam pengagihan wang kepada para pemain.
Gianni Infantino menegaskan bahawa beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kelab sering mengabaikan yuran latihan pemain.
Dalam perkembangan yang sama, FIFA juga bercadang untuk mengurangkan perpindahan pemain, di mana sebagai contoh kelab yang berpengkalan di London, Chelsea, mempunyai 53 pemain dalam senarai pinjaman dan ada beberapa kelab yang mempunyai 100 lebih pemain dalam senarai gaji.