Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal akan menambah satu atau dua pemain import bagi memantapkan pasukan pada jendela perpindahan kedua yang akan dibukan awal bulan depan.
Beliau turut memberitahu media bahawa perbincangan sudah dilakukan dengan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.
“Dalam perbincangan itu, Mehmet ada mengemukakan beberapa cadangan bagi memantapkan lagi pasukan terutama memasukkan pemain baharu.
“Saya juga sudah sebut kepada Mehmet supaya tahap kecergasan pemain dipertingkatkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) projek Bandar Baru Setia Awan Perdana, di sini hari ini.
Beliau turut memberi pandangan tentang prestasi pasukan pada musim ini.
“Musim ini prestasi di Liga Super tidak memberangsangkan, nasib tidak menyebelahi kita, (tetapi) kita berada di suku akhir Piala FA, banyak pasukan terbaik terkeluar, ini juga satu pencapaian terbaik.
“PKNP FC juga tunjuk prestasi baik, kita tidak merudum, kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir Piala FA, ‘its not too bad (tidaklah teruk sangat), maknanya ada pasukan dari Perak akan melangkah ke separuh akhir piala berkenaan,” katanya.