Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini telah memotong geran tahunan sebanyak 50 peratus selepas kegagalan tujuh pasukan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu.
Antara pasukan yang terlibat adalah PDRM bersama-sama dengan Kuala Lumpur (KL), FELDA United, Melaka, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang.
Selaind daripada itu KL, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.
Pengurus pasukan PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menyalahkan pucuk pimpinan yang lama sehingga dikenakan hukuman oleh MFL.
“Saya nak tekankan ini bukan kesalahan dibawah pengurusan saya, ini kesalahan dibawah pengursan lama. Mungkin ramai orang yang tidak faham,” katanya kepada BH Sukan.
“Dua kali kesalahan berturut-turut, memang saya amat kecewa (pengurusan lama). Bukan kecewa dengan MFL kerana mereka memang buat keputusan yang wajar. Jadi kami kena timpa bencana,
“Kalau perpindahan pemain disekat bagaimana saya nak baik pulih pasukan, tapi saya akan buat rayuan. Terima kasih kepada MFL kerana memberi kami ruang untuk buat rayuan dan bukannya keputusan muktamad. Saya masih mengharapkan ada sinar untuk perkara ini.”
Selain itu, Kamarul Ariffin juga menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada MFL mengenai perkara itu.
“Ini bukan kesalahan kami musim ini. Macam musim ini, sepatutnya gaji pemain dan pengurusan dibayar selepas 21 hingga 7 haribulan, tapi sekarang 15 atau 16 haribulan sudah bayar, tapi memang sukar untuk saya cuci masalah lama,” katanya.