Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Wander Luiz mahu Perak tingkatkan prestasi

Penyerang import Perak dari Brazil Wander Luiz mengakui mereka perlu meningkatkan prestasi andai mahu menjadi pencabar serius dalam perebutan kejuaraan Shopee Piala FA musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu menjadi penyelamat maruah skuad The Bos Gaurus daripada menjadi mangsa kelab amatur dari Liga M4 Jerantut FA dengan bangkit meledak dua gol pada babak kedua pada saingan pusingan ketiga semalam di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.

Wander Luiz berkata, kesungguhan Jerantut FA untuk memberikan saingan sebelum tewas 2-1 membuktikan status kelab amatur tidak boleh dipandang ringan.

“Ia bukan perlawanan mudah, pasukan lawan memberikan 100 peratus komitmen menentang kami tapi pada babak kedua kami bermain lebih baik dan menjaringkan dua gol.

“Keadaan padang menyukarkan permainan kami. Bila mereka menjaringkan gol kami kena terus fokus kerana bola sepak semua aspek berubah dengan cepat.

“Jerantut pasukan yang bagus, mereka berusaha keras, saya fikir jika mereka terus berusaha boleh melangkah lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Perak yang dibimbing Mehmed Durakovic terlebih dahulu ketinggalan menerusi sepakan percuma Muhamad Firdaus Abdul Razak pada penghujung babak pertama.

Namun selepas bertahan sehingga minit ke-75 akhirnya kubu pasukan tuan rumah dibolosi menerusi tandukan Wander Luiz sebelum dia menyumbat gol kemenangan pada minit ke-84.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pemain amatur Jerantut FA yang beraksi baik khususnya penjaga gol Mohamad Rozlan Arbae yang banyak menafikan percubaan bertali arus pasukan pelawat.

“Perancangan awal memang nak serang dulu, bila dapat satu gol kita tahu mereka akan menyerang pada babak kedua.

“Saya tak kecewa sebab kami kelab amatur dan tidak pernah beraksi di peringkat tinggi seperti ini. Bagi saya untuk sampai ke tahap ini juga satu pencapaian yang baik,” kata Rozlan.

Pada majlis undian Shopee Piala FA hari ini, Perak diundi bertemu PKNP FC bagi aksi suku akhir.