Pengendali Manchester City, Pep Guardiola tidak mengharapkan anak buahnya memenangi empat kejuaraan pada musim ini selepas pasukannya layak ke final Piala FA dengan kemenangan ke atas Brighton, 1-0 awal pagi tadi.
Kemenangan ini membawa kembali anak buah Guardiola ke Wembley untuk berdepan sama ada Watford atau Wolves pada 18 Mei nanti dengan harapan mencatat treble domestik pertama dalam sejarah bola sepak Inggeris.
Justeru bagi Guardiola, keajaiban perlu berlaku jika mahu melihat Man City menjulang keempat-empat kejuaraan.
“Saya akan mengumumkan sesuatu. Ia hampir mustahil untuk memenangi empat kejuaraan,” kata Guardiola. “Berjaya lolos hingga ke peringkat ini adalah satu keajaiban.
“Kami masih di landasan. Sebab itulah apa yang pemain-pemain ini lakukan amat menakjubkan.
“Setiap perlawanan kami kehilangan pemain tetapi ia sesuatu yang normal apabila anda mengharungi banyak perlawanan. Kami akan berusaha hingga ke penamat setiap perlawanan.