Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Mohamad Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan memberi amaran keras terhadap bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie agar memberi maklum balas selewatnya Khamis ini.
Ahmad Amizal sebelum ini hanya mengambil inisiatif berdiam diri dan tidak membalas maklum balas surat tuntutan menyelesaikan hutang yang berjumlah RM3 juta.
Bercakap kepada Berita Harian, pemangku Presiden PFA menjelaskan jika tiada apa-apa maklum balas daripada pihak Ahmad Amizal, kes ini akan diheret ke mahkamah.
“Kita sudah memberikan kepadanya lebih awal, tetapi dia masih berdiam diri dan tidak memberi maklum balas.
“Jadi kami hanya boleh menunggu sehingga Khamis ini, jika masih tiada maklum balas maka kami akan berjumpa dia di mahkamah sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau juga menjelaskan tarikh akhir untuk Ahmad Amizal menyelesaikan hutang adalah pada 4 April bukannya 9 April seperti yang dilaporkan media.
“Kita beri tempoh sehingga 4 April ini bagi dia menyelesaikan hutang PFA dan bukannya 9 April seperti yang dilaporkan media sebelum ini,” katanya.
Abdul Karim juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pihak jawatankuasa PFA memujuk Ahmad Amizal untuk memimpin badan induk negeri berkenaan.
“Dia (Ahmad Amizal) yang mencari kami dan menawarkan bantuan disaat PFA berada dalam kemelut, bukan sebaliknya.
“Sudahlah kami ditipu, tapi dikecam pula oleh peminat Singa Utara seolah-olah semua yang berlaku berpunca daripada kami,” katanya.