Kedah berjaya mengikat Johor Darul Ta’zim , 1-1 hasil jaringan Safawi Rasid dan Fernando Rodriguez untuk pasukan masing-masing pada pertembungan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Bagi pengendali Kedah, Aidil Sharin memuji komitmen yang diberikan oleh pemainnya sehingga berjaya mengikat juara Liga Super musim lalu.
“Sikap tidak menyerah kalah serta komitmen tinggi membolehkan mereka bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol pada awal perlawanan,” kata Aidil.
“Saya rasa bukan mudah bagi mana-mana pasukan untuk berhadapan JDT dan saya bangga Kedah dapat ‘mencuri’ dua mata daripada JDT dan menyekat JDT daripada menjarakkan kedudukan di carta Liga Super.
“Namun apa yang penting adalah semua pemain saya telah memberi usaha 100 peratus mereka dan juga saya ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Hijau Kuning yang hadir memberi sokongan motivasi kepada pasukan yang mereka sayangi.”
Beberapa perubahan taktikal dan posisi ditonjolkan oleh Aidil.
“Rodriguez berjaya membuktikan ketajamannya pada perlawanan kali ini manakala pemain pertahanan pula mampu mempertahankan benteng Kedah dengan baik termasuk Ifwat Akmal (Chek Kassim) yang cemerlang dan berjaya menghalang beberapa percubaan bahaya JDT,” katanya.