Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan tidak pernah mengambil sikap berdiam diri dalam isu perpindahan kontroversi penyerang muda negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Johor Darul Ta’zim.
Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata kepada kepada Berita Harian bahawa pihaknya sentiasa komited untuk membawa kes ini ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang berpusat di Kuala Lumpur.
“Ini bermula setelah mendapat nasihat peguam berkaitan proses timbang tara dilakukan menurut Fasal 12.1 dan pihak kami turut meneliti Artikel 25.3 iaitu Peraturan Status Pemain FAM dan juga keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM yang telah dibuat.,” kata Asmirul.
“Menurut Artikel 67 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk itu sepatutnya mewujudkan sebuah tribunal timbang tara untuk menangani rayuan daripada Jawatankuasa Rayuan. Bagaimanapun, tribunal berkenaan masih belum diwujudkan dan ini disahkan oleh pihak FAM sendiri melalui peguamnya.
“Untuk menangani ketiadaan tribunal itu ketika ini, peguam FAM mengesahkan bahawa badan yang paling sesuai untuk proses timbang tara boleh dilakukan adalah di Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang berada di Kuala Lumpur dan kami mendapat pengesahan daripada pihak peguam FAM sendiri.”
KFA juga menyatakan sudah mendapat khidmat dan nasihat peguam profesional berkaitan undang-undang dan peraturan sukan bola sepak.
“Pihak kami menerima dan akur dengan pendapat peguam kami dan telah memulakan proses timbang tara domestik dahulu di mana pihak yang terbabit mesti menjalani segala proses perundangan secara domestik sebelum bidangkuasa CAS atau FIFA boleh diguna pakai.
“KFA adalah ahli FAM, dan badan induk ini juga adalah ahli kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA, jadi kami menerima prosedur yang wajib dipakai untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul,” katanya kepada Berita Harian.