Liga Super Malaysia Berita

Masa Depan Yusri Jadi Tanda Tanya

Kekalahan terbaharu skuad Ibu Kota ke atas Selangor malam tadi menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang tewas lima perlawanan Liga Super yang diharungi sepanjang musim ini.

Kuala Lumpur mencatat kekalahan pertama pada pertemuan dengan Pahang sebelum dibelasah Johor Darul Ta’zim, 4-1 minggu berikutnya. Mereka juga gagal mengekang asakan Terengganu FC (TFC) yang menghadapi masalah konsistensi dalam persembahan apabila tewas tipis 0-1 dan mencatat kekalahan ke empat ketika bertemu Melaka United.

Manakala pada pertemuan dengan Selangor semalam, di mana pada permulaan separuh masa pertama anak buah Yusri Che Lah turun dengan penuh keyakinan apabila berjaya menjaringkan dua gol awal bagi meletakkan pasukan beliau dihadapan. Tetapi kegagalan mereka menepis serangan Selangor mengakibatkan gawang gol mereka dibolos sebanyak tiga kali dalam separuh masa kedua.

Kelemahan yang paling ketara dalam skuad Ibu Kota adalah barisan pertahanan dalam memperagakan benteng yang kukuh. Mereka sering kali leka dalam melakukan tugas masing-masing sehingga mudah dibolosi lawan. Ketiadaan pemain yang mampu memimpin barisan pertahanan juga menjadi punca pertahanan skuad Ibu Kota gagal berfungsi dengan baik.

Pemain Kuala Lumpur juga dilihat lambat dalam memperagakan aksi yang bersungguh. Dalam lima perlawanan Liga Super mereka, aksi bertemu Selangor semalam mempunyai kualiti dalam mengasak kubu lawan dan bersungguh dalam pencarian gol awal. Tetapi pada empat perlawanan sebelum ini, Kuala Lumpur dilihat gagal menyerlah dan kurang dari segi semangat juang.

Ini menjadikan mereka antara pasukan yang mudah ‘di makan’ oleh lawan.

Biarpun baharu bermain lima perlawanan Liga Super dengan baki satu lagi perlawanan dalam tangan menentang Perak yang ditunda disebabkan pasukan The Bos Gaurus menyertai kelayakan Liga Juara-Juara. Nasib pengendali skuad Ibu Kota, Yusri Che Lah terus menjadi tanda tanya.

Perkembangan terbaharu yang dilaporkan Berita Harian memberitahu bahawa satu pertemuan diantara pengendali Kuala Lumpur dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bakal diadakan hari ini bagi membincangkan hala tuju serta masa depan jurulatih kelahiran Perlis tersebut.

Apa yang menjadi perbualan hangat di dada akhbar adalah nasib yang bakal menimpa Yusri, adakah beliau akan terus kekal memimpin skuad Ibu Kota atau bakal menjadi jurulatih ke empat yang direhatkan?

“Saya mohon perbincangan secara baik kerana kemasukan saya juga dengan cara baik. Saya perlu bersikap jujur seandainya pengurusan merasakan saya tidak mampu bawa pasukan ini, saya rela untuk berbincang dengan mereka untuk tentukan masa depan.

“Saya bukan perjuangkan masa depan saya tetapi masa depan Kuala Lumpur. Andai itu jalan terbaik, saya redha apa juga (tindakan) majikan akan ambil,” katanya selepas tamat perlawanan.