Beliau adalah antara individu awal yang berdiri sambil melaungkan kata-kata semangat sewaktu pasukan negara beraksi. Antara individu terawal yang menubuhkan kumpulan Pemain Ke-12 atau lebih dikenali dengan Ultras Malaya.
Biarpun pelbagai dugaan serta cabaran selama hampir 11 tahun bertapak menjadi sebahagian daripada wajah bola sepak kita, tak dinafikan bahawa kumpulan ini telah menyumbang banyak perkara – wang, masa, keluarga dan kerja- demi melihat kelangsungan bola sepak tanah air kita.
Beliau yang berumur 27 tahun telah merasa pahit manis menyokong, menari dan meraikan kejayaan Harimau Malaya dan tetap setia bersama dalam kalah atau menang.
Hari ini, pihak Football-Tribe berpeluang menemuramah Iyzat Hamdan, seorang Capo UltrasSel (Selangor) dan juga antara ahli yang paling kehadapan Ultras Malaya.
Kami tanyakan pada beliau tentang Ultras, skuad muda negara dan juga pasukan beliau, Selangor FA.
Antara individu terawal yang memulakan ultras, bagaimana boleh tercetusnya idea penubuhan Ultras Malaya?
Ultras tertubuh dengan melalui perjumpaan dari medium forum di laman sesawang harimaumalaya.com seawal tahun 2007. Ia bertujuan untuk menyokong pasukan negara yang ketika itu melalui saat yang paling gelap dalam sejarah bola sepak malaysia setelah kekalahan memalukan di Asia Cup (2007) yang Malaysia menjadi tuan rumah pada waktu itu.
Selama Ultras mahu bertapak, apakah fasa yang ditempoh oleh Ultras Malaya?
Scene ultras di Malaysia ini melalui fasa yang berbeza. Dari awal penubuhan, pasca selepas menang piala AFF 2010, dan pasca “kejadian” 2015 (aksi protes terhadap FAM selepas pasukan negara tewas 10-0 ke atas UAE). Ia selari dengan perjuangan yang dibawa untuk memartabatkan bola sepak Malaysia. Setiap “kejadian” itu sedikit sebanyak telah mengubah landskap suasana bola sepak malaysia.
Ultras bukan sahaja wujud di Malaysia, tetapi juga negara-negara Eropah. Di Eropah selalu dikaitkan dengan budaya keganasan – pergaduhan, perkauman dan keganasan. Di malaysia juga pernah heboh tentang beberapa tingkah laku Ultras Malaya yang mendapat perhatian negatif netizen i.e sorakan ‘Singapore itu anjing’. Komen tentang penerimaan orang terhadap budaya ini.
Budaya ini nampak seakan sama di seluruh dunia, tetapi dari (segi) luaran. Dari segi dalaman setiap ultras di dunia ini mempunyai ciri dan identiti mereka sendiri. Kecaman dari netizen? Itu bukan menjadi penghalang untuk kami teruskan sokongan.
Tak dapat dinafikan, Ultras Malaya bawa impak positif sepanjang pasukan negara beraksi. Di mana Ultras Malaya adalah penggerak kepada sokongan peminat kepada pasukan negara. Tetapi, suasana sokongan seperti ini jarang berlaku membabitkan perlawanan pasukan negeri atau kelab.
Budaya bola sepak di malaysia ini belum sampai ke tahap seperti di Eropah. Begitu juga dengan pasukan (kelab dan negeri). Bola sepak (Malaysia) keseluruhannya juga belum boleh sampai ke tahap yang dimana kita boleh “compare” dengan negara-negara di Eropah atau di Jepun. Mentaliti penyokong di negara ini juga masih menyokong pasukan apabila pasukan itu menang.
Itu suatu mentaliti atau budaya yang masih belum boleh diubah secara keseluruhan di Malaysia. Seperti mana kita dapat lihat, jika pasukan itu berbelanja besar dan prestasi mereka bagus. Barulah stadium akan dipenuhi oleh penyokong. Disitu kita dapat lihat bahawa budaya sokongan ini masih lagi pada tahap “dah power baru sokong” bukannya sokong dan berada di belakang pasukan pada setiap masa. Mungkin ia memakan masa yang lama untuk mendapatkan “passion”, mentaliti budaya sokongan yang sebegitu di negara ini.
Terdapat satu isu melibatkan Ong Kim Swee dengan persatuan bolasepak negeri dan kelab dimana mereka tidak mahu melepaskan pemain mereka ke Kejuaraan AFF B-22 di Kemboba disebabkan kejohanan ini tiada dalam kalendar FIFA.
Kejohanan negara peringkat umur (kejuaraan AFF B-22) ini adalah satu platform untuk mengetengahkan pemain-pemain muda baru. Sepatutnya ia bukanlah satu isu yang dimana pasukan kelab/negeri tidak mahu lepaskan pemain.
Ini disebabkan pemain-pemain itu adalah “national player”. Sepatutnya ini peluang yang baik untuk OKS cari pemain muda yang lain untuk diketengahkan di kejohanan peringkat umur seperti ini supaya lebih banyak bakat yang dapat dicungkilkan.
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sekarang berada dibawah pucuk pimpinan Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah. Sebagai penyokong Selangor, apakah tranformasi yang cuba dibawa RMS untuk bola sepak Selangor.
FAS sedang melakukan transformasi dibawah pucuk pimpinan Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah. Mereka telah menunjukkan komitmen dan gerak kerja ke arah pengurusan yang lebih professional dan ke arah “sustainability” untuk pasukan Selangor.
Mungkin ia tidak boleh direalisasikan dalam masa yang singkat. Ia harus berlaku dalam berperingkat. Setakat ini bagi pendapat aku mereka melakukannya dengan baik sekali dari segi pengurusan.
Apakah pencapaian yang diharapkan setelah RMS mengambil alih tampuk kepimpinan?
Pencapaian itu tidak boleh diukur dalam masa setahun atau dua tahun. Ia perlu memakan masa yang lama supaya ia berlaku dengan berperingkat. Harapan penyokong kemungkinan mahukan suatu pencapaian dalam jangka masa yang pendek. Mereka harus diberikan masa untuk mengorak langkah dengan lebih cemerlang untuk jangka masa yang panjang. The word is “sustainability”. Itu yang penting untuk menjamin kelangsungan sesebuah pasukan itu untuk kekal utuh di persada bola sepak Malaysia.
Selangor mempunyai sejarah yang besar dalam arena bola sepak tempatan. Memegang rekod paling banyak bergelar penyandang juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali. Selangor dilihat lebih mementingkan pencapaian jangka pendek, bagaimana pula dengan pencapaian jangka panjang?
Achievement itu kalau jangka pendek, samalah seperti sebelum-sebelum ini. Menang Piala Malaysia tahun depan tiada stadium nak bermain. Terpaksa menggunakan stadium lain dengan kedudukan kewangan yang tidak kukuh.
Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, sebagai penyokong kita mahukan kejayaan untuk jangka masa yang panjang. Ini baru sahaja FAS melakukan perubahan. Kita harus berikan ruang dan peluang untuk mereka mengorak langkah untuk jangka masa panjang supaya kejayaan itu akan datang di masa hadapan.
Selain daripada pertukaran pengurusan dan hubungan baik dengan penyokong. Selangor juga telah melantik B.Sathianathan sebagai ketua jurulatih untuk musim ini. Selama dibawah kendalian beliau, Selangor mencatat tiga seri dan satu kekalahan dengan PKNS. Adakah B.Sathianathan orang yang tepat untuk mengendali Selangor?
Dari segi pengurusan, FAS telah lakukan gerak kerja yang sangat baik. Terutama “engagement” dengan penyokong adalah yang terbaik setakat ini. Cumanya dari aspek teknikal pula. Saya rasa coach (B. Sathianathan) dan pasukan kejurulatihan perlu diberikan ruang dan peluang. Baru empat perlawanan.
Apakah nasihat untuk penyokong bola sepak Selangor dan Malaysia?
Nasihat saya turunlah ke stadium, wujudkan budaya sokongan yang tidak berbelah bahagi. Wujudkan mentaliti juara dalam setiap pasukan anda. Penyokong adalah tulang belakang kepada sesebuah pasukan. Tanpa penyokong bagaimana sesebuah pasukan itu mahu “survive” di dalam kancah bola sepak ini. Penyokong harus ada, penyokong harus gunakan akal dan fikiran untuk mengubah pasukan mereka kearah masa depan yang lebih gemilang.