Malaysia Berita

KFA Dalam Persiapan Terakhir Bawa Isu Akhyar Ke Cas

Kontroversi yang membabitkan perpindahan pemain muda negara, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim memasuki fasa terakhir apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dikhabarkan telah menfailkan kes berkenaan kepada barisan peguam untuk dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)

Memetik tulisan daripada Harian Metro, KFA bakal mendakwa tiga pihak iaitu, Akhyar Rashid yang dikhabarkan gagal untuk melapor diri pada sesi latihan bersama skuad Helang Merah pada 2 Januari lalu dan KFA mendakwa beliau masih mempunyai baki kontrak sehingga penghujung musim ini.

Manakala dua pihak lagi adalah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Johor Darul Ta’zim (JDT). FAM bakal didakwa kerana gagal untuk menangani isu terbabit dengan baik, manakala kelab JDT bakal didakwa kerana menggunakan cara perbincangan melalui pintu belakang tanpa merujuk KFA terlebih dahulu.

“Perkara ini (isu Akhyar) sudah di peringkat terakhir undang-undang oleh peguam persatuan. KFA perlu mengikut proses dan prosedur kerana isu ini bukan perkara kecil.

“Apa yang pasti, tiga pihak akan diheret dan segala maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan. Biarlah peguam melakukan kerja mereka dan kita tunggu pengumuman rasmi daripada persatuan saja.

“Apapun, KFA tetap dengan pendirian dan tidak akan berganjak daripada matlamat asal untuk menuntut keadilan dan juga memperbetulkan sistem bola sepak negara supaya pasukan tidak lagi dibuli oleh sesetengah pihak,” katanya kepada Harian Metro.

Drama perpindahan Akhyar ke JDT menjadi isu hangat beberapa bulan sebelum sepak mula musim Liga Super.

KFA tetap berkeras mahu membawa kes ini ke pengetahuan CAS selepas tidak berpuas hati dengan dua keputusan Status dan Rayuan FAM ke atas perpindahan pemain tersebut.