Malaysia Berita

Liridon, Nidzam Diminta Berdamai Dan Bersikap Profesional

Pergaduhan yang pernah terjadi diantara Liridon Krasniqi dan bekas pengendali Kedah yang juga penolong jurulatih Melaka United (MU), Nidzam Adzha sewaktu kedua-dua mereka bekerjasama sewaktu bersama pasukan Kedah musim lalu perlu diketepikan dengan serta merta.

Pengurus MU, Datuk Yusoff Mahadi mengingatkan kepada mereka bahawa kepentingan pasukan menjadi keutamaan serta percaya komitmen dan sikap profesional kedua-dua individu terbabit.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Ada dengar masalah (sebelum ini di Kedah), tapi saya anggap ia masalah yang boleh ditangani secara profesional.

“Setiap jurulatih, setiap pemain apabila berada di suatu tempat yang berbeza, mereka perlu profesional. Kalau ada masalah mereka kena tinggalkan dan kena berkerja untuk pasukan yang baharu.

“Bagi saya, mereka perlu melupakan apa juga perselisihan atau pergaduhan. Bukan sahaja jurulatih, pemain juga perlu profesional,” kata Yusoff kepada Berita Harian.

Untuk rekod, Liridon sebelum ini pernah mengkritik Nidzam yang dikatakan menjadi punca kejatuhan pasukan Lang Merah pada kempen Piala Malaysia yang lalu. Manakala Nidzam menganggap kecaman yang diberikan Liridon seolah racun selepas segala yang beliau lakukan untuk Liridon menjadi antara pemain terbaik di Liga Malaysia.