Malaysia Berita

Liridon Sarung Jersi Melaka United

Bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi yang pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Pahang dan Johor Darul Ta’zim sah menyarung jeris Melaka United untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Pengumuman ini pasti menutup teka teki yang melanda pemain Kosovo tersebut setelah dikhabarkan menolak untuk menyertai Pahang biarpun sudah bersetuju sebelum ini. Selepas itu beliau juga dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim selepas memuat naik gambar bersama dengan pengasas kelab Harimau Selatan tersebut, Tunku Mahkota Johor.

Perkara itu disahkan dilaman Facebook rasmi milik Melaka United Soccer Association – MUSA yang dalam kenyataannya menyatakan bahawa pemain kelahiran Kosovo itu menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Melaka United.

“Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) dengan ini mengucapkan selamat datang buat empat pemain import baharu yang sah menyertai Melaka United selepas menandatangani kontrak semusim untuk bersama Skuad Hang Tuah mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019.”

Tambah kenyataan tersebut, Melaka United turut menandatangani empat pemain import lain bagi melengkapi empat kuota pemain import yang dibenarkan.

“Pagi tadi (Selasa, 22 Januari 2019) bertempat di Seri Negeri, Ayer Keroh telah berlangsung majlis menandatangani pemain-pemain terbabit iaitu bekas import Kedah, Liridon Krasniqi, penyerang dari Brazil, Casagrande, pemain tengah dari Montenegro, Darko Marković serta pertahanan tengah dari Korea Selatan, Jang Suk-Won.”

Melaka United yang terselamat daripada zon penyingkiran musim lalu dilihat bakal menjadi saingan pada kempen Liga M kali ini. Selain menandatangani Liridon, Melaka United juga telah mendapatkan khidmat bekas kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim.

Selain daripada itu, MUSA juga mengumumkan telah melanjutkan kontrak penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

“Khairul Fahmi Che Mat yang turut menandatangani kontrak sambungan bersama Skuad Hang Tuah musim ini.” Kata kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, Presiden MUSA dan juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yakin bahawa kehadiran beberapa pemain import dapat membina sebuah pasukan yang mantap bagi bersaing dalam kancah Liga Super musim ini.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Kami yakin boleh membina pasukan terbaik dengan penilaian terhadap pemain sentiasa ditambah baik.

“Beberapa inisiatif sudah dijalankan sebagai langkah memperkukuh dan memperkuatkan pasukan antaranya mengadakan perlawanan persahabatan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Walaupun tempoh agak singkat (menjelang Liga Super), saya yakin banyak lagi perkara boleh ditambah baik,” katanya.