Malaysia Berita

Prestasi Pemain Buat Hodak Risau

Seramai 24 pemain telah dipanggil untuk menyertai latihan Fasa 2 skuad Bawah 19 tahun negara (B-19) di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Pengendali skuad Bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak nyata tidak senang hati apabila ada beberapa pemain yang turun ke kem latihan adalah pemain yang tidak beraksi bersama pasukan tahun lalu.

Kegusaran ini ditimbulkan oleh beliau memandangkan kelendar skuad Bawah 19 tahun negara sibuk dengan memulakan kempen Piala Sanix di Jepun, Mac depan. Selepas itu, mereka akan mengharungi Kejuaraan B-19 AFF 2019 (Julai), sebelum beraksi dalam kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 (September).

“Seramai 24 pemain baharu dipanggil untuk latihan Fasa 2 dan ada tiga pemain yang dikekalkan daripada minggu lalu. Kebanyakannya pemain yang beraksi tahun lalu.

“Masalahnya di sini adalah pemain yang tidak pernah beraksi sepanjang tahun lalu dan nama mereka dicadangkan oleh pasukan untuk menyertai latihan bersama skuad B-19.

“Apapun, kita akan menjalani latihan selama seminggu dan selepas itu kita akan menilai bagaimana kualiti generasi baharu skuad B-19 ini,” katanya kepada Berita Harian.

Jurulatih daripada Crotia ini juga turut memanggil lima pemain daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi menyertai latihan kali ini selepas dua pemain sudahpun dipanggil minggu lalu.

“Mereka ini antara pemain berpotensi yang kita lihat dan mampu mengisi di posisi yang diperlukan. Apa yang saya mahu lihat adalah mereka dapat membuktikan kemampuan bersaing dengan pemain lebih berusia.

“Seperti saya katakan sebelum ini, usia tidak menjadi masalah memandangkan semuanya bergantung kepada kemampuan mereka sama ada boleh bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya Berita Harian.