Malaysia Berita

Perlis Hilang Empat Penaja Utama

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengesahkan bahawa empat tajaan utama pasukan itu dikatakan menarik diri daripada menaja pasukan Singa Utara.

Kemelut yang melanda pasukan PFA berkaitan isu tunggakan gaji 18 pemain sebelum ini membuatkan empat penaja utama menarik diri.

Beliau yang kelihatan beremosi dan menangis turut mendedahkan bahawa 95 peratus perbincangan dengan penaja utama sudah mencapai kata sepakat dan hanya menunggu untuk menandatangani perjanjian.

Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, “Perlis kosong, tiada apa-apa, tiada siapa nak taja perlis. Tiada apa-apa nilai yang orang boleh taja Perlis, kita buat latihan di Kuala Lumpur semata-mata untuk meyakinkan penaja sebab mereka boleh dekat dengan pemain dan bukan suka-suka untuk buat latihan di sini.

“Nak dapat penaja bukan senang, bukan Perlis saja, semua pasukan. Bila kita hilang penaja walaupun sudah sampai tahap 95 peratus perbincangan, ia satu kerugian buat semua.

“Penaja percaya kepada pengurusan baharu, cuma benda yang berlaku ini menjadi satu benda yang negatif kepada penaja dan kalau kita nak cari penaja yang baru, bukan satu benda yang mudah. Tapi saya bukan individu yang akan berputus asa,” katanya.

Beliau juga turut mengulas lanjut berkenaan isu tunggakan gaji. Dimana pada 25 Januari akan ada diakan perjumpaan bagi menyelesaikan kemelut ini.

Beliau juga mengingatkan agar tidak ada campur tangan orang ketiga.

“Saya ambil Perlis dalam keadaan kosong, satu benda pun tiada, jadi saya bukan nak minta pemain, peminat atau masyarakat faham. Tapi saya ambil Perlis dalam keadaan ada hutang dan saya rasa semua orang tahu benda itu.

“Jadi, pada 25 Januari nanti boleh datang jumpa dengan pengurusan dan kita cari jalan terbaik selesaikan salah faham ini. Biarlah perjumpaan itu membabitkan pemain yang mula-mula kami jumpa dulu tanpa ada pihak ketiga atau keempat,” katanya kepada Berita Harian.