Malaysia Berita

Saddil, Herold Bakal Sarung Jersi Pahang

Setelah gagal mendapatkan Liridon Krasniqi yang dikhabarkan bakal menyarung jersi Johor Darul Ta’zim II (JDT II). Pasukan Pahang bakal menandatangani dua import baharu yang diuji pada aksi pramusim di Thailand baru-baru ini.

Dua pemain import tersebut ialah pemain yang berasal daripada Indonesia, Saddil Ramdani bakal mengisi posisi tengah pasukan Tok Gajah manakala pemain kelahiran Perancis, Herold Goulon pula boleh bermain di posisi bertahan dan bahagian tengah pasukan Pahang.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata bahawa prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain mampu memberi kekuatan di bahagian tengah dan pertahanan pasukan Tok Gajah.

Memetik kata-kata beliau kepada Sukan NSTP, “Berdasarkan prestasi dipamerkan pada aksi pramusim di Bangkok, Thailand baru-baru ini, kami lihat mereka mampu memberi kekuatan di bahagian tengah dan pertahanan.

“Namun, keputusan muktamad akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat memandangkan saingan Liga M bermula awal bulan depan,” katanya.

Untuk rekod, Pahang masih dalam pencarian empat pemain import baharu setelah Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dan mereka mengekalkan Safuwan Baharudin daripada Singapura.

Tok Gajah yang beraksi di Thailand pada perlawanan pramusim berjaya mencatat keputusan satu seri, satu menang dan satu kalah.