Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal mengadakan sesi perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk memahami isi kandungan pelembagaan MFL serta hal-hal lain yang berkaitan dengan Liga Malaysia.
Sebelum ini, MFL telah menjalankan taklimat pada 3 Januari 2019. Taklimat yang melibatkan 24 buah pasukan itu membincangkan segala hal tentang perjalanan liga serta isu-isu yang membabitkan para pemain dan pasukan.
Oleh kerana wakil KFA gagal hadir pada taklimat tersebut. Ketua Pegai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mengambil inisiatif sendiri dengan menjemput wakil KFA bagi mengadakan perbincangan pada 10 Januari 2019.
Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, Kevin Ramalingam menyifatkan pemahaman semua rakan kongsi tentang bagaimana liga kita berjalan serta isu-isu berkaitan pemain serta pasukan adalah relevan supaya tiada lagi kontroversi yang akan berlaku kelak.
“Pada 3 Januari 2019, MFL telah menjemput semua rakan kongsi liga terdiri daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 24 buah pasukan yang bertanding untuk membincangkan berkenaan isu ejen pemain, kontrak pemain, perlembagaan MFL, jadual pertandingan dan hal lain berkaitan liga.
“Walau bagaimanapun, pihak KFA tidak hadir pada saat akhir. Sebagai badan pentadbir liga bola sepak Malaysia, MFL sentiasa mengambil berat permasalahan setiap pasukan dan KFA juga terikat dengan peraturan sama seperti 24 rakan kongsi yang lain.
“Oleh itu MFL menjemput KFA untuk membincangkan isu berkaitan Liga Malaysia 2019. Jemputan telah dihantar kepada KFA bagi mengadakan perbincangan pada 10 Januari 2019,
“MFL sentiasa berusaha dalam menambah baik imej liga dan melindungi rakan kongsi daripada terus dilanda kontroversi.
“MFL berharap perbincangan dengan KFA dapat direalisasikan bagi jalan penyelesaian terbaik isu ini,” katanya kepada Berita Harian.