Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah mengikat pemain mereka dengan klausa pelepasan yang bernilai antara RM3 juta dan RM6 juta untuk musim baru bagi menghalang pasukan lain daripada mencuri pemain.
Pemain pertahanan kanan Syahmi Safari yang membantu Malaysia menjadi naib juara Piala AFF tahun lepas antara pemain paling bernilai di Red Giants dengan klausa pelepasan bernilai RM6 juta.
Memetik kata-kata Setiausaha FAS, Dr Johan Kamal Hamidon kepada NST, “Kami menggunakan templat yang diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2017 untuk mengikat pemain kami dengan kontrak yang kukuh. Kesemuanya mempunyai klausa pelepasan.
“Syahmi adalah pemain kami yang paling berharga dan klausa pelepasannya ialah RM6 juta.
“Kontrak baru ini bukan hanya melindungi pemain kita, tetapi juga kelab, yang tidak akan kalah setelah banyak membiayai pembangunan mereka.”
Selangor bertindak pantas bagi melindungi pemain mereka daripada menggunakan pintu belakang untuk berunding dengan pasukan lain setelah isu Akhyar Rashid menjadi kontroversi.
Tindakan FAS meletakkan yuran perpindahan akan memberi impak positif serta melindungi para pemain.
Tambah beliau, isu yang melanda pasukan Kedah perlu dijadikan iktibar buat para pasukan agar tidak mengambil mudah hal berkaitan kontrak pemain.
“Saya dengar Kedah masih menggunakan templat lama FAM sebagai panduan untuk menandatangani pemain. Saya berharap pasukan lain akan menggunakan templat baru yang mempunyai klausa pelepasan, “kata Johan.