The Red Giants hari ini mengumumkan akan melepaskan tujuh pemain yang sedia ada.
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini melepaskan pemain pertahan berpengalaman Razman Roslan yang telah tampil untuk pasukan Selangor di dalam 346 perlawanan sepanjang karier beliau dan telah menjaringkan 24 gol buat skuad Gergasi Merah.
Beliau juga telah banyak membantu Selangor menjulang beberapa piala antaranya adalah, Piala Sumbangsih 2009, 2010, Liga Super 2009, 2010, Liga Premier 2005, Piala Malaysia 2005, Piala FA 2005 dan Piala FA 2009.
Selain daripada itu, beberapa nama lain seperti Joseph Kalang Tie, Azamuddin Mohd Akil, Abdul Halim Zainal, Shahrul Igwan, Norazlan Razali dan Mohd Fairuz Abdul Aziz melengkap senarai pemain yang akan dilepaskan pasukan The Red Giants.
Ini adalah salah satu usaha FAS dalam menjenamakan semula Selangor bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
FAS juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para pemain yang telah menabur jasa dalam kancah bola sepak Selangor.
“Segala jasa yang dicurahkan buat pasukan ini akan terus kekal terpahat dan terbuku dalam sejarah Selangor selamanya.
“Bagai air yang dicincang, takkan putus. Begitulah hubungan kekeluargaan antara pemain ini bersama Selangor FA yang akan berkekalan selamanya.
“Biarpun tidak memakai jersi sama, mereka tetap menjadi sebahagian dari keluarga besar Red Giants. Justeru, Selangor FA mendoakan mereka memperoleh kejayaan di tempat baru,” kata FAS melalui Facebook.