Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Sumareh Makin Selesa, Capai Persefaham Dengan Syahmi Safari

Mohamadou Sumareh, pemain sayap kanan negara menyatakan bahawa persefahaman beliau bersama pertahanan kanan negara Syahmi Safari adalah penting untuk mengatur gerakan menyerang dan meresap asakan lawan ketika bertahan.

Tetapi bagi pemain naturalisasi pertama negara, persefahaman itu tidak datang dengan mudah dan mereka perlu kekal konsisten menjelang perlawanan yang akan datang.

“Kami sudah memahami satu sama lain dan semuanya disebabkan oleh latihan. Apabila kami sentiasa berlatih bersama, kami menjadi lebih serasi antara satu sama lain,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

“Lebih kerap kami berlatih bersama, kami lebih mengenali antara satu sama lain.”

Sedar dia masih belum menjaringkan gol dalam kempen Piala AFF sekali gus mengundang kritikan, Sumareh tahu betapa perlawanan menentang Thailand pada separuh akhir menjadi medan buatnya menggegar gawang.

“Saya lebih daripada gembira untuk layak ke separuh akhir dan sama ada saya membantu pasukan menjaringkan gol atau tidak, semuanya adalah mengenai kemenangan dan saya gembira. Mungkin ketika ini saya belum bertuah tapi selepas ini mungkin peluang saya akan tiba.” Katanya kepada Berita Harian.

Beliau turut mengulas lanjut mengenai lawan skuad negara di peringkat separuh akhir nanti di mana skuad negara akan bertemu Thailand, Sabtu ini.

“Bagi separuh akhir, kami perlu lebih berdisiplin dan ia menjadi semakin sukar bermula dari sekarang. Setiap perlawanan yang kami harungi perlu dilayan dengan lebih serius dan kami perlu memberikan 120 peratus bermula sekarang.” Katanya kepada Berita Harian.