Bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba mengumumkan akan mengakhiri karier beliau setelah 20 tahun bermain dan memenangi pelbagai gelaran antaranya Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Pemain yang berasal daripada Côte d’Ivoire ini telah menjaringkan 164 gol dalam 381 perlawanan bersama Chelsea. Beliau juga turut menjadi tonggak yang bertanggungjawab memimpin kebangkitan Chelsea bersama-sama Jose Mourinho di bawah pemilik Roman Abramovich.
Drogba, 40, memulakan kerjayanya di Perancis bersama pasukan Le Mans pada tahun 1998, tetapi tidak bermain bola sepak peringkat profesional sehingga dia berusia 23 tahun ketika dia ditandatangani oleh Guingamp pada tahun 2002.
Dia berpindah ke Olympique de Marseille pada tahun 2003 dan setahun kemudian ditandatangani oleh Chelsea di mana dia menjadi tumpuan apabila berjaya membawa Chelsea memenangi Liga Perdana buat pertama kali.
Beliau kemudian memenangi tiga gelaran Liga Perdana dalam lapan tahun pertama di Chelsea serta empat Piala FA dan dua Piala Liga.
Kejayaan pertamanya di barat London berakhir dengan gemilang ketika dia menjaringkan gol penalti dalam perlawanan penentuan terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich.
Dia telah menjaringkan gol di China dan Turki sebelum kembali ke Chelsea di mana dia memenangi gelaran Liga Perdana yang keempat dan Piala Liga yang ketiga
Beliau meninggalkan kelab itu sebagai penjaring terbanyak keempat sepanjang masa.
“Ini cara terbaik untuk mengakhiri, membantu beberapa bakat muda untuk berkembang,” kata Drogba kepada BBC.