Malaysia Berita

90 Minit Ke Penentuan Juara.

Tengku Hazman Raja Hassan, Pengendali Terengganu FC II (TFC II), mengatakan bahawa beliau begitu ‘lapar’ untuk mengecap sebuah kemenangan.

Katanya lagi, beliau berharap para pemain bermain bersungguh-sungguh dan menjadi pemenang pertama untuk edisi sulung Piala Cabaran ini.

Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian, “Nilai piala ini tinggi buat pasukan kerana kami menyertainya dan akan memastikan kejuaraan edisi sulung ini menjadi milik kami.

“Saya begitu lapar untuk mendakap piala biarpun pernah menang sebelum ini sebagai pemain. Oleh itu saya juga harap pemain dapat merasai apa yang saya rasa dan bermain dengan bersungguh-sungguh,” kata Tengku Hazman.

Beliau yang sebelum ini merangkap tugas sebagai penolong jurulatih berkata akan mempersiapkan pasukan terkuat untuk perlawanan akhir kedua malam esok bertemu UKM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Tambah beliau, perlawanan akhir ini masih terbuka kepada kedua-dua pasukan dan tidak mahu mengambil mudah pada perlawanan esok.

“Ini pertemuan keenam antara TFC II dengan UKM, jadi sudah semestinya kami mengetahui kelebihan serta kekurangan pasukan masing-masing.

“Justeru saya ingatkan pemain perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada selain perlu mengelak daripada melakukan kesalahan ‘bodoh’ bagi tidak mengganggu rentak perlawanan kerana final ini masih terbuka buat kedua-dua pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Di kem UKM pula, pengendali UKM, Sulaiman Hussin berharap para pemain akan membawa pulang trofi Piala Cabaran dan berharap aksi yang terbaik daripada pasukannya

“Ini peluang terbaik kami untuk melakar kemenangan dan saya yakin pemain juga mempunyai hasrat sama.

“Pemain kami akan berusaha mempamerkan aksi terbaik, bermain di tempat sendiri atau tempat lawan tidak menjadi masalah bagi kami untuk menjulang trofi ini,” kata Sulaiman pada Berita Harian.

Pada aksi final pertama, TFC II dan UKM terikat 2-2 di Stadium Shah Alam