Kapten Perak, Nasir Basharuddin sah tidak akan dapat turun beraksi menentang PKNS di Stadium Perak untuk perlawanan pusingan pertama suku akhir unifi Piala Malaysia pada hari Selasa ini.
Nasir mengalami kecederaan apabila beraksi dengan skuad kebangsaan baru-baru ini, dan kecederaan tersebut nampaknya lebih serius daripada yang dijangkakan.
“Saya mengalami kecederaan ini selepas berlanggar dengan pemain Kemboja semasa aksi persahabatan bersama pasukan kebangsaan. Ketika itu lutut saya bengkak dan sangat sakit,” ujar Nasir kepada Arena Metro.
“Pada awalnya saya jangka ia tidak serius dan sempat pulih untuk mewakili Perak pada suku akhir. Tapi, pemeriksaan doktor baru-baru ini menjangkakan berlaku keretakan.
“Saya akan menjalani pemeriksaan kali kedua beberapa hari lagi untuk melihat sejauh mana seriusnya kecederaan itu. Namun untuk perlawanan menentang PKNS, Selasa ini memang sah saya tidak dapat bermain,” tambah Nasir.