
Bintang muda Malaysia, Safawi Rasid sedang melalui satu musim yang cukup menakjubkan. Menjadi antara penjaring terbanyak tempatan di Liga Super dan menjadi penjaring utama untuk skuad bawah 23 tahun di Kejohanan AFC bawah 23 tahun dan Sukan Asia yang lalu.
Kehebatan Safawi ini telah diperakui bukan sahaja oleh peminat tempatan, tetapi juga media antarabangsa.
Pemain Johor Darul Ta’azim (JDT) itu tersenarai dalam senarai 11 pemain terbaik Sukan Asia oleh Fox Sports.
Nama Safawi tersenarai bersama pemain seperti Lee Seung Woo (Korea Selatan), Yuto Iwasaki, Yugo Tatsuta (Jepun) dan Zabikhillo Urinboev (Uzbekistan).

Selain Safawi, tiga pemain Vietnam, Bui Tien Dung, Vu Van Tanh dan Nguyen Quang Hai juga tersenarai untuk menjadikan empat wakil dari Asia Tenggara dalam senarai berkenaan.
Safawi berjaya mencuri tumpuan peminat bolasepak luar negara selepas dua jaringannya berjaya menumbangkan pemenang pingat emas bolasepak Sukan Asia, Korea Selatan di peringkat kumpulan. Malaysia menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menumbangkan Korea Selatan setakat ini.
Safawi kini pastinya akan diberi tanggungjawab lebih besar untuk membawa skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki nanti. Dengan tersenarainya dia dalam kesebelasan terbaik Sukan Asia ini, pastinya ia akan lebih menaikkan semangat anak muda dari Terengganu ini.