Kejayaan Malaysia menumbangkan Kyrgyzstan 1-3 merupakan permulaan terbaik untuk skuad muda negara di Sukan Asia. Selepas ini mereka akan berdepan Korea Selatan yang diperkuat dua bintang Piala Dunia 2018, Son Heung-Min dan Jo Hyeon-woo. Satu misi yang cukup getir.
Selain Malaysia, Korea Selatan juga nampaknya memulakan kempen mereka dengan langkah kanan apabila membelasah Bahrain 6-0. Apa yang menakjubkan adalah mereka mudah menewaskan Bahrain tanpa Son Heung-min yang direhatkan.
Ini menimbulkan persoalan. Adakah Korea Selatan merehatkan Son kerana mahu berdepan Malaysia? Adakah mereka merasakan Malaysia merupakan lawan yang paling merbahaya untuk mereka di Sukan Asia? Kali terakhir skuad bawah 23 tahun negara berdepan Malaysia adalah ketika Suku Akhir Kejohanan AFC Bawah 23 tahun pada bulan Januari yang lalu di mana mereka terpaksa berhempas pulas menewaskan Malaysia 2-1. Mungkin Korea akan sedikit lega apabila tiada N.Thanabalan dalam skuad Malaysia di Sukan Asia.
Jika Son beraksi menentang Malaysia, pastinya ini akan menaikkan semangat pemain Malaysia untuk menunjukkan yang terbaik. Bahagian pertahanan pastinya mahu berusaha mengunci Son dan pemain serangan mahu menewaskan Jo Hyeon-woo yang begitu kebal berdepan Thomas Muller, Timo Werner dan semua pemain pasukan Jerman.
Kesemua pemain pertahanan, Dominic Tan, Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin, Syazwan Andik, Rizal Ghazali serta dibantu Baddrol dan Nik Akif perlu menutup segala ruang. Mungkin Nik Akif yang penuh tenaga perlu ditugaskan untuk mengekori Son sepanjang masa bagaikan kembarnya.
Siapa tahu jika kali ini Malaysia mampu menumbangkan Korea Selatan? Dengan Akhyar dan Safawi sedang berada di kemuncak prestasi, mungkin betul tindakan Korea Selatan merehatkan Son kerana mereka tahu kali ini Harimau Malaya sudah bersedia untuk menumbangkan 11 orang Taeguk Warriors.