Baru sertai pasukan sudah bermasalah.
Mungkin itu yang terngiang dalam fikiran ahli Majlis Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai penyerang import mereka, Paulo Rangel.
Menurut laporan Berita Harian, ahli Majlis KFA kini sedang berbincang sama ada mahu meneruskan khidmat penyerang Brazil itu walaupun ketua jurulatih, Nidzam Adzha sudah enggan memberi peluang kepada Rangel.
Dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’azim (JDT) yang lalu, Nidzam menyatakan bahawa Rangel enggan memanaskan badan bersama rakan sepasukannya apabila mengetahui dia tidak berada dalam kesebelasan utama pasukan. Dia juga dikatakan tidak bersalam dengan barisan pegawai pasukan Kedah.
Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali menyatakan bahawa ahli majlis akan meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan kerana banyak perkara perlu diambil kira.
“Kita kena fikir adakah tindakan merehatkan Rangel suatu keputusan tepat dalam keadaan pasukan sedang tenat sedangkan gajinya tetap perlu dibayar sehingga penghujung November ini.
“KFA perlu melakukan sesuatu sebelum segala-galanya terlambat kerana Kedah masih mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia dengan syarat bangkit dalam baki empat perlawanan bermula dengan pertemuan dengan MIFA, Sabtu ini.”
Kedah tewas kepada JDT 1-5 di Larkin dan seri 0-0 dengan Kelantan dalam perlawanan sebelum itu. Satu lagi kekalahan mungkin boleh menyukarkan peluang Kedah untuk cuba merangkul piala kedua mereka musim ini.