Selepas dua musim, satu piala dan satu promosi bersama Kuala Lumpur, nampaknya pemain pertahanan, Azmeer Yusof bakal meninggalkan skuad City Boys.
Azmeer merupakan antara tonggak utama di bahagian pertahanan Kuala Lumpur pada musim lalu di mana dia telah membantu Kuala Lumpur menjadi juara Liga Premier dan naik ke Liga Super.
Namun, pada musim ini dia telah diletakkan di bangku simpanan dengan kehadiran pemain muda Syazwan Andik. Ingin mencari nafas baru, bekas pemenang Piala Malaysia bersama Kedah ini mengucapkan selamat tinggal kepada Kuala Lumpur.
Azmeer mengumumkan mengenai pemergiannya daripada Kuala Lumpur dalam menerusi laman Instagramnya. Dalam siaran tersebut, Azmeer menyatakan bahawa saingan Piala Malaysia akan menjadi pertandingan terakhir dia menyarung jersi merah-putih City Boys.
https://www.instagram.com/p/BmCS6P3l75s/?taken-by=azmeer_25
Pemain berusia 28 tahun ini memulakan kerjayanya bersama Kuala Lumpur pada tahun 2008. Dia kemudiannya meneruskan kerjayanya bersama Proton, Perak, Pos Malaysia, Negeri Sembilan, ATM dan Kedah sebelum kembali bersama Kuala Lumpur.
Ke mana hala tuju Azmeer selepas ini masih tidak diketahui, tapi pastinya banyak pasukan yang berminat mahu mendapatkan Azmeer. Siapa tahu, mungkin Azmeer akan kembali ke Kedah, atau mungkin menyertai ramai bekas pemain Kuala Lumpur di Felcra FC yang akan beraksi di Liga Super pada musim depan.