Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mahu Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengemukakan sebab mengapa pemain importnya, Mohamadou Sumareh tidak perlu menunggu sehingga lima tahun untuk menukar statusnya kepada pemain tempatan.
Sebelum ini Kevin menjelaskan, berdasarkan peraturan liga, pemain yang bukan berdarah campuran perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan masing-masing.
“Kami sudah menjawab permohonan awal PBNP sebelum ini dan ia mengikut peraturan yang sudah dibuat dua tahun lalu. Kalau pertimbangan mahu diberikan semula, kena ada rayuan.
“Contohnya mereka boleh kemukakan sesuatu yang boleh menyokong kenapa Sumareh tidak perlu tunggu hingga lima tahun dan kami tidak pernah melarang sesiapa untuk membuat rayuan,” katanya kepada Berita Harian.
Namun Kevin mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang rayuan daripada PBNP.
Katanya, dokumen yang dihantar PBNP sebelum ini hanya permohonan untuk Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukannya rayuan.
“Permohonan awal Pahang sebelum ini sudah ditolak berdasarkan peraturan sedia. Jadi kalau nak kata semasa Sumareh dapat kad pengenalan dulu sudah buat rayuan, mana ada, itu hanya permohonan,” kata Kevin.
“Setahu saya, selepas keputusan penolakan permohonan itu, tiada apa-apa rayuan daripada Pahang dan rayuan perlu dibuat berdasarkan keputusan permohonan sebelum ini,” katanya.