
Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) akan meneruskan perjuangan di Kejohanan AFF B-16 di Surabaya, Indonesia meskipun mereka mendapat ugutan dan kecaman oleh penyokong Indonesia selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak bercadang untuk menarik diri daripada bertanding.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang berpuas hati dengan tahap keselamatan yang diberikan oleh pihak tuan rumah.
“Pasukan Malaysia sudah diberi tambahan keselamatan dengan tiga kereta dan lima motosikal pengiring. Dengan tahap keselamatan diperketatkan, pasukan kita tak ada masalah selain isu dalam stadium di mana penyokong Indonesia datang ke perlawanan Thailand menentang Malaysia, itu agak luar biasa.
“Saya berpuas hati dengan keselamatan dan kerjasama dengan pihak PSSI dan AFF jadi kita biarkan mereka mengendalikan perlawanan selepas ini.
“Buat sementara ini persoalan untuk menarik diri kita tidak ada bincang dengan AFF,” katanya kepada Berita Harian.
Kontroversi melanda Kejohanan AFF B-16 d Surabaya apabila penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Joko Samudro, Isnin lalu.
Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus setelah pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.
Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan kecil semata-mata.
Berikutan insiden itu, Stuart berkata pihak FAM sudah menghantar surat bantahan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan AFF supaya tindakan tegas diambil.
“Surat bantahan sudah diberi, tapi kita belum terima maklum balas. FAM juga sudah menghantar Exco FAM, ACP Md. Dali Wahid sebagai pegawai keselamatan untuk memantau dan merangka pelan keselamatan pasukan kita,” katanya.