Meskipun Mohamadou Sumareh sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan layak untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, beliau terpaksa perlu menunggu sehingga 2023 sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk bersaing dalam Liga Super.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, pemain kelahiran Gambia itu masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh MFL.
Katanya, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan liga tempatan.
“Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.
“Tetapi jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat keputusan mengenainya.
“Namun, buat masa ini tiada permintaan untuk kita mengkaji semula kriteria dan peraturan yang sudah ditetapkan.
“Setakat ini, kita belum mengubah kriteria bahawa pemain perlu memegang kerakyatan selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan,” katanya kepada Berita Harian.
Sebelum ini, status Sumareh yang didaftarkan sebagai pemain import Pahang pada musim ini menimbulkan tanda tanya selepas menjadi rakyat yang sah di negara ini.
Pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada bulan April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.
Beliau juga sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.
Mengulas lanjut mengenai kriteria membabitkan pendaftaran pemain naturalisasi, Kevin berkata, situasi akan menjadi berbeza jika Sumareh adalah pemain berdarah kacukan.
“Keputusan lembaga MFL sebelum ini adalah membenarkan pemain berdarah kacukan dan selepas kita mengambil tindakan ini, mungkin hanya 50 ke 100 pemain berdarah kacukan yang ada kaitan dengan negara ini.
“Namun jika kita buka kepada pemain yang tiada hubungan langsung dengan negara ini, ia boleh jadi begitu besar dan tidak terkawal. Jadi kita perlu mengambil tindakan sebegini untuk memastikan masa depan pemain tempatan terjaga,” katanya.