Malaysia Berita

Syed Saddiq tolak pemain naturalisasi

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan cadangan untuk mengambil pemain naturalisasi bukanlah pendekatan terbaik bagi meningkatkan prestasi bola sepak negara sebaliknya fokus perlu diberikan kepada pembangunan di peringkat akar umbi.

Katanya, pembangunan di peringkat awal adalah asas kepada sesebuah sukan dan melalui cara itu, lebih banyak pemain dapat dilahirkan pada masa akan datang.

“Mengenai usul pemain naturalisasi bola sepak, perkara ini perlu diperhalusi sebaik-baiknya kerana tidak ada jalan mudah untuk berjaya.

“Pembangunan akar umbi teramat penting bagi memastikan ada lebih banyak pemain-pemain Malaysia yang dapat mengangkat dan memartabatkan bola sepak negara pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin sedang mempertimbangkan pengambilan pemain naturalisasi.

Namun katanya, banyak usaha perlu dilakukan untuk membawa masuk pemain berstatus naturalisasi ke dalam pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata pihak kementerian masih belum ada sebarang keputusan sama ada program NFDP akan dikendalikan di bawah FAM atau sebaliknya.

“Saya sudah minta FAM untuk bentangkan pelan jangka panjang dan pendek kepada KBS bagi membolehkan kami melihat titik pertemuan terbaik untuk kedua-dua pihak.

“Ia sangat penting untuk menjalinkan kersama sama bagi memastikan NFDP ini terus berkembang tetapi masih belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya dan kami sedang menunggu untuk perbincangan selanjutnya,” katanya.